SAN SALVADOR - EL SALVADOR - Nelayan berusia 36 tahun dari El Salvador bersama rakannya Ray Perez pada mulanya merancang memancing di perairan Mexico, namun di saat akhir, rakannya itu tidak dapat menyertainya dan diganti dengan pemancing lain, Ezequiel Cordoba.
Sebagai persediaan, bot Salvador Alvarenga dan Ezequiel itu dimuatkan dengan pelbagai keperluan termasuk 70 gelen gasolin, 16 gelen air, 50 paun sardin untuk umpan, serta cangkuk, pisau dan baldi.
Mereka turut membawa telefon bimbit yang disimpan dalam beg plastik, GPS dan radio.
Kedua-dua mereka tidak pernah berbual mahupun bekerja bersama sebelum ini, namun berkongsi hobi sama, iaitu memancing.
Malangnya, cuaca buruk dengan ombak yang semakin kuat menyebabkan mereka hanyut ke tengah laut.
Salvado memaklumkan kepada majikannya menerusi radio bahawa bot mereka berhenti berfungsi dan kini berada berbatu jauhnya di tengah laut, namun tiada respon.
Lebih memburukkan keadaan, GPS yang dibawa juga tidak boleh digunakan.
Mereka menelefon pengawal pantai yang meminta dua lelaki itu melabuhkan sauh supaya dapat mengenal pasti lokasi dan mengelak terus hanyut, namun malangnya, bot berkenaan tidak dilengkapi sauh.
Bot itu terus hanyut ke laut, ombak membadai malah ada yang terlalu kuat untuk bot kecil mereka.
Bot berkeluasan 25 kaki dan sebesar trak pikap itu tidak dilengkapi struktur kaca dan tiada lampu, malah ia tidak kelihatan di laut, sekali gus menyukarkan mereka dilihat oleh kapal lain.
Hari berganti hari, rasa lapar dan dahaga mula dirasai dua lelaki malang itu.
Mereka tidak mempunyai makanan, tiada cara untuk mengambil air bersih malah tidak boleh menangkap ikan.
Mereka hanya menangkap penyu, obor-obor dan burung laut untuk terus hidup.
Selepas dua bulan berada di laut, Salvador sudah terbiasa menangkap dan memakan haiwan yang terdapat di keliling mereka namun kesihatan mental, fizikal serta semangat mulai menurun.
Tidak lama selepas itu, Ezequiel meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan.
Walaupun sukar menerima kenyataan, Salvador tidak berputus asa untuk terus hidup.
Suatu hari, selepas ribut kuat, Salvador mendapati dirinya berada di kawasan yang mempunyai arus lancar dan langit tiba-tiba dipenuhi burung gagak.
Lelaki itu kini sedar yang dia menghampiri daratan dan dapat melihat Tile Islet, sebuah pulau kecil yang merupakan sebahagian daripada Atol Ebon.
Di sana, dia bertemu dengan Emi Libokmeto dan suaminya, Russel Laikidrik yang membantunya mendapatkan rawatan.
Walaupun mengalami trauma fizikal dan psikologi yang tidak dapat dibayangkan, Salvador terselamat.
Dia menghabiskan 438 hari hilang di laut dan tidak lama kemudian kembali ke El Salvador serta akhirnya disatukan semula dengan keluarganya.
Sumber: Sinar Harian