"SEMUA baik-baik sahaja." Itu kata penyanyi Hafiz Hamidun ketika ditanya mengenai perkhabaran hubungannya dengan isteri iaitu Joy Refva yang dikatakan sudah kembali jernih.
Bagaimanapun kata Hafiz, dia enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan lebih selesa berdiam diri buat masa ini.
"Semua baik sahaja dan selebihnya lebih baik saya berdiam diri sahaja," katanya ringkas kepada mStar Online ketika dihubungi pada Sabtu.
Hafiz dan Joy dikatakan sudah melupakan sengketa di antara mereka selepas masing-masing memuat naik status dengan kata-kata positif di Instagram seolah-olah memberi bayangan mereka sudah pun berbaik.
Penyanyi itu menerusi Instagram menulis; "Salam Jumaat! Semuanya baik-baik saja, semoga Allah mudahkan urusan" dan meletakkan hastag #HJ yang dipercayai membawa maksud pangkal nama awalnya dan isteri.
Manakala Joy pula menulis; "Alhamdulillah.. semoga segala urusan kita hari ini dan akan datang, dipermudahkan oleh Allah SWT.
"Memaafkan tidak akan mengubah masa lalu, tapi pasti akan mempermudahkan masa depan. #HJ #positivevibes #akuwanitaterbahagia."
Hafiz turut menulis komen pada posting itu dan Joy juga turut meninggalkan tanda suka pada status Hafiz.
Dalam pada itu, ditanya sama ada dia akan meneruskan sidang media yang bakal diadakan, Hafiz memberitahu ia bergantung kepada keadaan.
Sementara itu, pengikut Instagram pasangan suami-isteri itu lega dengan perkhabaran itu dan mendoakan agar Hafiz dan Joy terus utuh melayari bahtera perkahwinan.
Malah ada dalam kalangan meminta sebarang permasalahan selepas ini dibincang secara baik dan bukannya menggunakan medium media sosial untuk meluahkan perasaan.
Hafiz, 33, dan Joy atau Siti Arifah Mohd Amin, 30, berkahwin pada 1 Mei lalu pada majlis yang diadakan di Shah Alam, Selangor.
Sumber: Mstar Online