Semua Mesti Berpakaian Sopan- JAIM


MELAKA - Larangan berpakaian tidak sopan di negeri ini bakal diperluas kepada masyarakat bukan Islam berikutan banyak aduan diterima Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) daripada masyarakat bukan Islam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM Rahimin Bani berkata, pihaknya berbincang dengan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mencari kaedah terbaik mengawal kelakuan tidak sopan itu.

“Isu ini pernah ditimbulkan masyarakat bukan Islam yang tidak senang melihat individu yang berpakaian mencolok mata kerana didakwa terlampau seksi.

“Malah, mereka minta kita supaya pantau juga,” kata Rahimin ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Palah, di sini.

Menurut Rahimin, meskipun JAIM tidak mempunyai akta bagi mengambil tindakan terhadap golongan bukan Islam di negeri ini, sebagai rakyat Malaysia semua pihak perlu memahami Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan.

Rahimin berkata, pihaknya akan memperkasakan lagi penguatkuasaan terhadap orang Islam yang tidak menghormati peruntukan undang-undang di bawah Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.

Sumber: MyMetro