Semua Pasukan Beri Kerjasama, Terima Kasih: Yusoff


KUALA LUMPUR - Berita gembira buat skuad bawah 22 tahun (B-22) apabila tiada pasukan enggan melepaskan pemain mereka untuk Sukan SEA, bulan depan.

Pengurus pasukan, Datuk Yusoff Mahadi menyifatkan senario itu sebagai perkembangan positif yang bakal menggembirakan jurulatih Datuk Ong Kim Swee.

Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerjasama diberikan semua pasukan itu akan memudahkan persiapan skuad muda negara ke temasya dwitahuan itu.

“Setakat ini, saya belum mendengar lagi kalau ada mana-mana pasukan yang tidak mahu melepaskan pemain mereka.

“Malah, tiada pasukan yang memaklumkan secara rasmi kepada FAM mereka berdepan kesukaran untuk melepaskan pemain mereka.

“Jadi, berdasarkan perkembangan ini, saya fikir semua pasukan tidak ada masalah melepaskan pemain mereka yang akan memudahkan Kim Swee untuk melakukan persiapan,” katanya semalam.

Sebelum ini, Kim Swee berdepan masalah menghimpunkan pemain terbaiknya bagi mengharungi aksi Kelayakan Kejuaraan Bawah 23 tahun (B-23) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di Bangkok, bulan lalu.

Pertindihan jadual membabitkan perlawanan kelayakan itu dan aksi domestik menyaksikan enam pemain pilihan tidak dilepaskan pasukan masing-masing sehingga memaksa Kim Swee sekadar membawa 22 pemain untuk mengharungi pusingan kelayakan yang berlangsung di Bangkok itu.

Sumber: MyMetro