Semua Sudah Bersedia - Khairy


KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata semua venue pertandingan bagi Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) sudah bersedia untuk digunakan.

Beliau, berkata biarpun masih ada kerja-kerja menghias venue sedang dijalankan namun dari aspek keperluan teknikal ia sudah siap dan bersedia untuk digunakan.

"Sebenarnya persiapan venue ini adalah kerja yang berterusan kerana kita masih perlu menghias venue dengan jenama kita. Namun, dari segi keperluan teknikal ia sudah siap.

"Saya tidak boleh nak kata ia sudah siap 100 peratus kerana seperti contoh venue di KLCC (Pusat Konvensyen Kuala Lumpur) baru saja diserahkan kepada kami dua hari lalu. Jadi, ada kerja-kerja hiasan yang perlu dilakukan," kata Khairy.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan stesen bertemakan sukan di LRT Bukit Jalil dan pelancaran Buku Panduan Perjalanan Rapid KL sempena KL2017 di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz.

Temasya KL2017 kali ini bakal berlangsung di beberapa venue antaranya Bandar Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil, Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Sumber: BH Online