Senarai Hitam Jika Gagal Lunas Pinjaman


IPOH – Peminjam bagi pinjaman Pengajian Tinggi Anak-Anak Negeri Perak yang tidak membuat pembayaran semula bakal berdepan tindakan termasuk disenarai hitam dalam Sistem Rujukan Maklumat Kredit Berpusat (CCRIS) dan Service Tip Off Sdn Bhd (CTOS).

Exco Kerajaan Perak, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, tindakan disenaraihitamkan ini boleh memberikan implikasi besar dalam kehidupan peminjam kerana akan mengakibatkan mereka (peminjam) tidak boleh membuat sebarang pinjaman kelak.

Malah menurutnya, peminjam berkenaan juga boleh dikenakan tindakan di bawah akta pihak imigresen yang boleh menghalang mereka ke luar negara.

“Peminjam yang gagal membuat pembayaran semula akan berdepan tindakan CCRIS, CTOS atau dengan pihak imigresen yang boleh menghalang mereka ke luar negara dan membuat pinjaman lain selepas ini.

“Sehingga 31 Disember tahun lalu, tunggakan pinjaman Pengajian Tinggi Anak-Anak Negeri Perak berjumlah sekitar RM17 juta, iaitu melibatkan seramai 4,632 orang peminjam.

“Sekitar 20 orang peminjam juga  telah diambil tindakan mahkamah setakat ini,” katanya.

Muhammad Amin berkata demikian pada sidang media setelah mewakili Menteri Besar bagi menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Pinjaman Pengajian Tinggi Kerajaan Negeri bagi sesi 2017/2018 di Dewan Bankuet, petang tadi.

Sumber: Sinar Harian