Hari ini jika mahu ke mana-mana lokasi yang belum pernah kita jejaki atau tidak tahu laluan mana perlu diikuti bukan lagi satu masalah.
Sentuh saja lokasi yang ingin dituju pada skrin telefon menggunakan aplikasi navigasi sistem penentu kedudukan global (GPS) seterusnya ikut saja arahan pada peranti berkenaan.
Ada puluhan aplikasi navigasi GPS yang direka khusus untuk memudahkan perjalanan kita cuma perlukan telefon pintar dan data Internet saja anda pasti tidak akan tersesat jalan.
Namun bagaimana jika tiba-tiba telefon bimbit anda kehabisan bateri, rosak atau tiada liputan.
Tentu kita pernah mengalami situasi sebegini dan sudah pasti mencetuskan rasa panik tambahan pula jika terpaksa berkejar untuk urusan penting.
Ia berlaku pada saya ketika memenuhi undangan majlis perkahwinan seorang saudara di Pahang baru-baru ini apabila saya tertinggal pengecas telefon kereta dan kebetulan telefon bimbit isteri juga kehabisan bateri.
Disebabkan lokasi kami berada kedudukannya di pedalaman jadi agak sukar menemui kedai yang menjual pengecas telefon.
Apa lagi maka kami tersesat jalan ke rumah saudara tadi dan pilihan yang ada cuma kaedah konvensional - bertanya orang di jalanan.
Selepas tersesat lebih 10 kilometer dan empat kali berhenti untuk bertanya penduduk yang kami temui di tepi jalan akhirnya sampai juga kami ke rumah saudara saya itu walaupun agak lewat.
Kejadian itu sebenarnya berjaya mengajar saya satu perkara - jangan terlalu bergantung pada teknologi moden walaupun tidak dinafikan ia banyak membantu dalam hidup hari ini.
Ini bermakna fungsi otak manusia tidak boleh diambil alih oleh apa jua peranti walau secanggih mana pun teknologi yang terdapat padanya.
Menurut laporan New York Times baru-baru ini, penyelidik berpendapat otak manusia adalah alat terbaik dalam membina ‘peta minda’ bagi sesuatu kawasan.
Dengan proses latih tubi berterusan, kemahiran minda semakin meningkat dan menjadi lebih kuat.
Pakar psikologi di Pusat Sains Kognitif Universiti Freiburg, Jerman, Julia Frankenstein menyatakan amalan terlalu bergantung kepada GPS menyebabkan minda kita hilang keupayaan menggunakan dan ‘mencipta’ peta minda.
Laporan penyelidik The Boston Globe pula mendapati kebergantungan kepada GPS sebenarnya tidak elok untuk minda kerana proses mencipta peta minda turut berperanan dalam aktiviti harian lain.
Era sebelum penciptaan mesin pengira atau kalkulator, kita menggunakan otak kita sepenuhnya untuk membuat pengiraan iaitu dengan cara membuat catatan pada kertas.
Bagaimanapun, selepas muncul teknologi mesin pengira manusia mula menjadi malas untuk membuat pengiraan sendiri walaupun bentuk aritmetik yang mudah.
Dari satu sudut ia membantutkan keupayaan untuk berfikir dan menjurus manusia menjadi pemalas.
Pakar mencadangkan pelbagai kaedah untuk melatih minda supaya menjadi cerdas dan tidak terlalu bergantung kepada peranti tertentu.
Antara yang boleh dilakukan termasuk bermain dengan susun suai atau teka silang kata dari majalah atau akhbar hujung minggu.
Selain itu, membaca dan bermain catur turut membantu mengasah minda.
Kemajuan teknologi sepatutnya membantu supaya kita lebih banyak berfikir bukan menggantikan otak kita seratus peratus.
Sumber: MyMetro