Shuib Mengaku Siti Sarah Licik


KUALA LUMPUR - Pelawak Shuib akui isterinya, Siti Sarah 'cekap' merakam aksi romantik spontan mereka tanpa disedari, lalu dikongsi di media sosial.

Malah, Shuib pernah menasihatkan Sarah supaya tidak keterlaluan menunjukkan kemesraan mereka kepada netizen.

"Saya tahu ada pihak kurang senang dengan kemesraan kami. Saya ada menegur Sarah untuk tidak memuat naik video atau gambar yang keterlaluan di media sosial.

"Sebenarnya, saya tidak tahu koleksi video yang tersimpan dalam telefon bimbit Sarah. Ini kerana apa yang dimuat naik sebelum ini pun saya tidak sedar dia merakamkan momen spontan itu," katanya kepada BH Online.

Shuib mengulas kritikan netizen yang mendakwa pasangan itu terlalu menunjukkan kemesraan di laman sosial, biarpun ramai menyedari mereka adalah suami isteri.

Tambah Shuib, kemesraan dirinya dan Sarah bukan dibuat-buat.

"Ini adalah sikap kami sejak dulu lagi, ...keluarga serta rakan-rakan sudah lali.

"Mungkin dengan adanya media sosial, ia menjadi lebih meluas lagi," katanya.

Dalam perkembangan terkini, Shuib memikul tugas sebagai pengacara program santai, Konti Karat.

Program yang akan disiarkan mulai 22 September depan antara lain menampilkan artis jemputan seperti Hazama, Mawi, Siti Nordiana, Ayai Ilusi, Zarul, Siti Sarah dan ramai lagi.

Konti Karat bakal menemui penonton setiap Jumaat, jam 9 malam secara eksklusif di saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).

Sumber:  BH Online