ALOR SETAR - Usaha bekas Perdana Menteri, Datuk Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini didedahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Bekas pemimpin UMNO itu yang kini mengetuai parti pembangkang sebenarnya adalah dalang di sebalik usaha untuk menyingkirkan Najib.
" Saya mempunyai cukup bukti dalam bentuk rakaman bahawa bekas pemimpin itulah yang mencadangkan agar Najib dijatuhkan sebagai Perdana Menteri melalui undi tidak percaya di Parlimen pada masa itu, " kata Ahmad Zahid.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri mendedahkan perkara semasa berucap di depan para perwakilan Persidangan UMNO Bahagian Jerlun di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu, di sini, petang ini.
Baru-baru ini semasa memberi keterangan di mahkmah bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir memberitahu bahawa bapanya Dr. Mahathir bersama bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhtiddin Yassin merancang untuk menjatuhkan Najib dua tahun lalu dan kenyataan itu kemudiannya disahkan oleh Dr. Mahathir.
Daripada awal lagi ramai yang ragu-ragu (kecuali puak pembangkang) dengan dakwaan Dr Mahathir bahawa Zahid mengadakan pertemuan dengan beliau pada tahun 2015 untuk minta bantuan jatuhkan Najib.
“Mungkin dia (Dr Mahathir) sudah lupa...jerat tak akan lupa pelanduk", kata Ahmad Zahid mendedahkan cerita sebenar mengenai pertemuan itu sambil menyifatkan dirinya sebagai "jerat" dan sudah tentu sekali tidak akan melupakan perkara tersebut.
Zahid memberitahu detik-detik pertemuan itu berlaku 10 hari selepas beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 29 Julai 2015.
"Perkara ini juga mungkin Dr Mahathir tidak tahu....," kata Zahid yang mendedahkan beliau telah mendapat izin daripada Najib untuk membuat pertemuan dengan bekas Perdana Menteri itu.
Dr. Mahatihr kini tidak dapat menyembunyikan lagi perkara itu kerana Zahid mempunyai bukti rakaman perbualan mereka semasa pertemuan itu.
Sebagai pembantu Najib, Zahid menegaskan beliau tidak akan 'gigit tangan' orang yang memberi makan padanya dan tidak ambil kesempatan untuk diri sendiri (bagi mendapatkan sesuatu).
"Adakah logik seorang Timbalan Perdana Menteri hendak jatuhkan Perdana Menteri yang melantiknya hanya selepas 10 hari selepas saya dilantik...? kata Zahid.
" Dia (Dr Mahathir) mendakwa saya nak jatuhkan Perdana Menteri…sedangkan dia sendiri yang merancangnya,” katanya.
Zahid mendedahkan (pada pertemuan itu) Dr Mahathir memberitahu beliau meminta pemimpin pembangkang dan pemimpin UMNO yang hilang jawatan agar membuat undi tidak percaya terhadap Najib di Parlimen.
Baru-baru ini Dr Mahathir mendakwa Ahmad Zahid telah bertemu dengannya dan meminta sokongan daripadanya (Dr. Mahathir) untuk menggantikan Najib sebagai perdana menteri.
Dalam hal ini Ahmad Zahid menegaskan bekas pemimpin UMNO itu perlu jujur dan bercakap apa sebenarnya yang berlaku ketika itu.
"Saya bukan mahu membalas dendam tetapi saya mahu ahli UMNO dan rakyat tahu yang berbohong itu adalah dia ( Dr. Mahathir), " ujarnya lagi.
Beliau berkata perkara itu tidak didedahkan kepada umum kerana pemimpin berkenaan pada masa itu masih lagi di dalam UMNO.
Mendedahkan lebih lanjut t, Ahmad Zahid berkata jika undi tidak percaya itu tidak dapat dilaksanakan, pilihan kedua "pakatan itu" adalah untuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memecat Najib sebagai perdana menteri.
Timbalan perdana menteri turut menzahirkan rasa hairannya kenapa perkara itu ditimbulkan oleh bekas pemimpin berkenaan selepas dua tahun daripada tempoh pertemuan yang diadakan itu.
"Tiba-tiba orang itu cakap saya yang rancang untuk jatuhkan perdana menteri dan sebab itu saya meminta dia jangan bercakap bohong," katanya.
Sementara itu Ahmad Zahid mengingatkan rakyat supaya jangan membenarkan pihak luar mengambil kesempatan untuk merosakkan dan mengambil alih tampuk kerajaan yang sedia ada.
"Saya yakin rakyat akan tetap bersama UMNO dan BN tetapi apa yang perlu dipastikan jangan membenarkan orang lain ambil peluang untuk rosakkkan dan ambil alih kerajaan," katanya lagi. - Kedahnews.com