Siapa Dinobatkan Manusia Terpantas Asia Tenggara


MAHKOTA raja dan ratu pecut dalam acara 100 meter (m) pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sama ada menjadi milik Khairul Hafiz Jantan atau Zaidatul Husniah Zulkifli bakal terjawab hari ini.

Khairul, pemegang rekod 100m kebangsaan dan Husniah akan bersaing dengan dua pelari terbaik daripada Filipina, Thailand, Vietnam, Indonesia, Singapura, Brunei, Laos dan Kemboja di Stadium Nasional Bukit Jalil.



Berdasarkan catatan peribadi terbaik tahun ini, Khairul, 19, dan seorang lagi atlet negara, Jonathan Nyepa, 21, manakala Husniah, 24, bagi kategori wanita dilihat berpeluang merangkul gelaran tersebut sekiranya memenangi acara reben biru nanti.

Khairul menghuni ranking ketiga Asia Tenggara 2017 apabila mencatatkan masa 10.31 saat (s) di belakang Jonathan yang menerajui carta kedudukan menerusi catatan 10.28s diikuti jaguh pecut Filipina, Eric Shauwn Cray pada tempat kedua (10.31s).

Jika diukur rekod peribadi ketiga-tiga atlet itu, peluang lebih cerah buat Khairul kerana catatan 10.18s (rekod kebangsaan) sudah mengatasi masa dilakukan Cray sewaktu menang pingat emas Sukan SEA 2015 di Singapura iaitu 10.25s sementara Jonathan pula merekodkan larian terbaik 10.28s.

Justeru, Khairul sudah bersedia memastikan pingat emas 100m menjadi milik negara sekali gus menamatkan penantian 14 tahun selepas kali terakhir ia dimenangi bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad pada Sukan SEA 2003 di Hanoi, Vietnam.

“Dua tahun lalu dia (Cray) menang tetapi sekarang tidak mustahil ia mampu menjadi milik saya. Saya berjanji akan memberikan prestasi terbaik nanti,” katanya.

Bagi gelaran ratu pecut, Husniah dan seorang lagi wakil negara, Siti Fatimah Mohamad yang masing-masing menghuni ranking No.2 serta No.11 Asia Tenggara tahun ini bakal dicabar hebat pelari dari Vietnam, Thailand dan Filipina.

Vietnam membariskan pelari ranking pertama dan kelima Asia Tenggara 2017 iaitu Le Tu Chinh serta Le Thi Mong Tuyen sementara cabaran Filipina digalas Zion Rose Nelson (No.3 Asia Tenggara 2017) dan pemenang pingat emas Sukan SEA 2015, Kayla Anis Richardson.

Malah, pemenang pingat perak dan gangsa Sukan SEA 2015 iaitu Tassaporn Wannakit dari Thailand serta pelari Singapura, Veronica Shanti Perreira turut berlumba di trek balapan Stadium Nasional hari ini.

Bagaimanapun, Husniah mampu meraih pingat emas dengan mengikut jejak pelari terakhir yang memenanginya, G. Shanti di Jakarta, Indonesia pada 1997 jika lariannya kekal konsisten dalam lingkungan 11.60s seperti dipamerkan baru-baru ini.

Sumber: Kosmo