GIMNAS negara Koi Sie Yan ternyata sukar ditandingi apabila berjaya mempertahankan pingat emas di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas mengungguli acara gimrama individu keseluruhan di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa, Kuala Lumpur, hari ini.
Sie Yan cemerlang dengan persembahan menarik untuk mengumpul 63.15 mata, mengatasi seorang lagi atlet berpengalaman negara Amy Kwan Dict Weng yang meraih perak selepas mencatat 60.10 mata.
Gangsa dimenangi gimnas Thailand Pornchanit Junthabud yang mengumpul 52.50 mata.
Daripada empat disiplin yang dipersembahkan, Sie Yan jelas paling memukau barisan juri dalam disiplin gelung dengan 16.60 mata berbanding bola (15.60), belantan (15.25) dan riben (15.70).
Dengan kemenangan ini, atlet berusia 18 tahun itu sudah menuai emas kedua daripada gelanggang gimrama selepas membantu pasukan negara menamatkan penantian 10 tahun menerusi kejayaan menguasai acara berpasukan, semalam.
Sebagai rekod, pada Sukan SEA 2015 Singapura, Sie Yan berkongsi emas bersama seorang lagi atlet negara Shasangari Sivaneswari selepas kedua-duanya diumumkan sebagai pemenang bersama.
Sumber: Metro