Sistem Teratur Mampu Elak Insiden Rempuhan


PEMINAT bola sepak negara berasakan sistem penjualan tiket yang teratur dapat mengelakkan situasi tidak diingini.

Adi Fatihi yang berasal dari Terengganu mendakwa, dia sudah biasa dengan insiden seumpama itu.

"Pada pendapat saya, sistem yang tidak teratur dan tiada kawalan ketat di Stadium Shah Alam semalam menjurus kepada situasi begini.

"Bayangkan saya dari jam 7 pagi beratur, jam 1 petang baru dapat tiket. Pihak pengurusan harus tahu bahawa penyokong dari semua negeri datang," katanya.

Semalam, sebahagian peminat bola sepak merempuh pagar pengadang kerana tidak berpuas hati apabila hanya beberapa kaunter dibuka untuk penjualan tiket.

Sementara itu, Azim Omar mendakwa, sepatutnya pihak berkuasa mengambil tindakan awal berkaitan insiden itu.

"Krew sahaja tidak cukup untuk kawal keadaan, patut ada pihak berkuasa sekali.

"Keadaan menjadi tak terkawal hinggakan kerusi dan botol air dibaling.Patut ini dapat dibendung jika ada langkah pencegahan awal," katanya.

Bagi Mohd Rusyaidi pula, dia berasa lega dapat membeli tiket bagi menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 di antara Malaysia dan Thailand, malam ini.

"Setelah berhimpit dan beratur sejak jam 7 pagi, memang seronok penat lelah berbaloi.

"Bagaimanapun, saya harap pihak pengurusan dapat perbaiki masalah ini sebab tadi pun lebih 30 minit berhimpit baru boleh keluar," katanya.

Sumber: Sinar Harian