Skuad Badminton Wanita Terus Kempunan Emas


PENANTIAN Malaysia selama lapan tahun untuk meraih pingat emas badminton berpasukan wanita Sukan Sea berterusan apabila skuad negara tumpas 1-3 kepada Thailand dalam perlawanan akhir di Arena Axiata, semalam.

Kali terakhir skuad wanita menang emas ialah pada 2009 di Laos.

Malaysia memulakan aksi dengan menurunkan Soniia Cheah selaku perseorangan pertama dan dia tewas mudah kepada Busana Ongbamrungphan 12-21, 10-21 dalam masa 37 minit.

Harapan yang disandar menerusi beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei untuk menyamakan kedudukan tidak kesampaian apabila mereka turut tumpas 21-9, 11-21 , 18-21 kepada Puttita Supajirakul-Sapsiree Taerattanachal.

Bagaimanapun, Goh Jin Wei kembali mencerahkan peluang negara dalam memburu pingat emas selepas menewaskan pemain perseorangan kedua Thailand, Nitchaon Jindapol dengan keputusan 22-20, 23-25, 22-20.

Kebangkitan Jin Wei yang menyumbang mata pertama untuk negara gagal diteruskan beregu wanita, Choi Mei Kuan-Lee Meng Yean apabila gagal menandingi kehebatan Kititharakul Jongkolphan-Prajongjai Rawinda.

Walaupun berjaya bangkit pada set kedua untuk mengheret perlawanan penentuan namun pasangan Thailand lebih bijak mengatur strategi akhirnya memastikan kemenangan milik mereka dengan keputusan 21-12,16-21, 21-8 sekali gus mempertahankan emas yang dimenangi dua tahun lalu di Singapura.

Sumber: Sinar Harian