Stadium JDT Siap Tahun Depan


GELANG PATAH – Kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) bakal melakar satu lagi sejarah apabila mempunyai sebuah stadium baharu yang serba canggih untuk digunakan bermula tahun depan.

Majlis pelancaran reka bentuk dan konsep stadium yang baharu itu disempurnakan oleh pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, di sini kelmarin.

Tunku Ismail yang juga Pre­siden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut ditemani isteri Che’ Puan Khaleeda Bustamam dan puteri sulung mereka Tunku Khalsom Aminah Sofiah.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Pengerusi Country Garden Pacific View (CGPV), Datuk Daing A. Malek Daing A. Rahaman.

Pengarah Eksekutif Country Garden Pacific View (CGPV), Datuk Md. Othman Yusof berkata, pembinaan stadium baharu itu amat bermakna kerana bola sepak bukan sekadar sukan biasa, khususnya bagi rakyat negeri ini.

“Bola sepak telah menjadi satu sukan dan budaya yang menyatukan rakyat negeri ini tanpa me­ngira latar belakang mereka.

“Projek ini sedang berjalan mengikut jadual dan stadium baharu ini dijangka siap menje­lang akhir tahun depan,” katanya dalam majlis di Hotel Cenderawasih, Forest City, di sini.

Stadium baharu JDT itu yang dibina di tapak seluas 140,000 meter persegi mampu menampung hingga 40,000 penonton.

Md. Othman memberitahu, projek tersebut bukan hanya me­libatkan pembinaan stadium baharu, malah juga pelbagai aspek pembangunan lain.

“Selain stadium bertaraf dunia, projek ini turut melibatkan pembinaan pelbagai fasiliti lain termasuk pusat latihan, pusat sukan dan kedai cenderamata,” katanya.

Sumber: Utusan Online