Suami Isteri Dalang Tuntutan Palsu Lebih RM25 Juta


PUTRAJAYA - Sepasang suami isteri ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana menjadi dalang dalam penipuan tuntutan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) melalui penyata GST-03 bernilai hampir RM25.58 juta.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri T. Subromaniam berkata ia merupakan kes terbesar melibatkan penipuan tuntutan semula GST sejak cukai itu diperkenalkan pada 1 April 2015.

Beliau berkata lelaki itu, yang merupakan ahli perniagaan, ditahan pada 25 Ogos lepas di Ipoh, Perak manakala isterinya ditahan di Bandar Baru Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Ogos lepas.

"Akaun bank milik kedua-dua suspek juga dibekukan bagi tujuan siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, suspek lelaki itu ditahan bersama-sama wang tunai berjumlah RM200,000 dan pelbagai mata wang asing manakala isterinya ditahan bersama-sama wang tunai berjumlah RM182,000.

Subromaniam berkata, kedua-dua suspek itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh esok bagi beberapa pertuduhan.

Beliau berkata, siasatan kes itu dijalankan selama beberapa bulan dengan turut melibatkan Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET).

"JKDM juga sedang mengenal pasti beberapa lagi suspek yang dipercayai turut terlibat dalam kegiatan itu serta mereka yang diperdayakan suami isteri tersebut untuk turut terlibat membuat tuntutan palsu," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 89(1)(b) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 kerana membuat pernyataan atau catatan palsu dalam mana-mana penyata, kata beliau sambil memberi amaran bahawa JKDM akan mengambil tindakan keras terhadap mana-mana pihak yang yang terlibat dalam kegiatan seperti itu.

"Kita mempunyai sistem canggih seperti pengurusan risiko, audit dan bahagian siasatan yang akan menyiasat jika terdapat tuntutan yang tidak mencerminkan keadaan sebenar (perniagaan).

"Kita akan membuat siasatan (terhadap tuntutan) dan tidak mudah untuk mereka terlepas" katanya.

Mengulas mengenai kutipan GST, beliau berkata jumlah kutipan tahun ini adalah lebih banyak berbanding tahun lepas susulan perkembangan ekonomi yang positif.

Tahun lepas, JKDM memungut kutipan GST sebanyak RM41.2 bilion yang melebihi sasaran RM39 bilion yang ditetapkan. –Bernama