'Sukan Kampung' Pelengkap Sukan SEA


KUALA LUMPUR - Penganjuran sukan rakyat dan sukan tradisi dalam temasya Sukan SEA dilihat bertepatan dengan cita rasa semua negara serantau yang bertanding dalam acara dwitahunan itu.

Jelas Presiden Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar, penganjuran 'sukan kampung' itu mampu menjadi pengimbang terhadap acara Sukan Olimpik yang dipertandingkan, sekali gus membuka peluang kepada semua negara untuk turut meraih pingat.

Katanya, SEAGF memandang serius penganjuran semua sukan yang dipertandingkan namun pertimbangan tetap perlu dibuat dengan melihat kemampuan semua negara yang mengambil bahagian pada temasya sukan serantau itu.

"Kita mengakui Sukan SEA adalah penganjuran sukan yang paling rendah tarafnya jika hendak dibandingkan Sukan Asia apatah lagi Sukan Komanwel mahupun Sukan Olimpik.

"Saya bersetuju acara sukan Olimpik itu penting, tetapi harus diingat ada kekangan untuk menganjurkannya kerana ada negara yang tidak memiliki kemudahan bertaraf Sukan Olimpik.

"Ada juga yang negara tidak memiliki persatuan kebangsaan untuk sukan yang dipertandingkan pada temasya Olimpik.

"Jadi, dengan penganjuran sukan sebegini, setidak-tidaknya ia dekat dengan cita rasa serantau dan memberi publisiti kepada negara yang menjadi pelopor kepada sukan itu.

"Lebih mustahak, adalah ia membuka peluang yang luas kepada semua negara memenangi pingat dalam acara yang dipertandingkan," katanya pada sidang media di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Dalam masa sama, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo berkata, setiap acara sukan yang dipertandingkan pada temasya Sukan SEA dibahagikan mengikut tiga kategori.

"Kategori satu adalah sukan wajib iaitu olahraga dan akuatik manakala yang kedua adalah kategori Sukan Olimpik dan Sukan Asia di mana tuan rumah perlu memilih minimum 14 sukan daripada 38 sukan untuk dipertandingkan.

"Kategori tiga adalah sukan serantau di mana minimum dua daripada lapan sukan boleh dipilih, jadi kami sudah mengimbangkan antara sukan wajib, Sukan Olimpik atau Asia dan sukan serantau untuk melengkapkan program sukan pada temasya kali ini," katanya.

Sumber: BH Online