Sukan Polo, Umpama Perlawanan ‘Selebriti’


PUTRAJAYA - Taman Ekuestrian di sini bertukar ‘kecoh’ apabila peminat sukan polo menyerbu untuk menyaksikan perlawanan polo ekuestrian antara Malaysia dengan Brunei yang berlangsung semalam.

Perlawanan tersebut menjadi tumpuan apabila penonton mula membanjiri Taman Ekuestrian Putrajaya sejak pukul 1.30 petang lagi bagi menyaksikan aksi kali pertama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan dua kerabat diraja Brunei iaitu Putera Abdul Mateen Sultan Bolkiah dan kekandanya, Puteri Azemah Ni’matul.

Lebih bermakna perlawanan itu turut disaksikan kerabat diraja yang berkenan berangkat ke gelanggang tersebut seperti Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut sama berangkat Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim; kerabat-kerabat diraja dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan.

Diakhir pertandingan itu, orang ramai yang menyaksikan acara tersebut tidak melepaskan peluang untuk berswafoto bersama Putera Abdul Mateen dan Khairy.


Biarpun masih belum hilang lelah, kedua-dua ‘selebriti’ itu tidak menghampakan hasrat peminat masing-masing untuk mengabadikan kenangan tersebut.

Dalam perlawanan itu Malaysia menewaskan Brunei dengan jaringan 12-4 dengan kapten negara, Shaik Reisman Mohamad Ismail muncul wira apabila menjaringkan lapan gol.

Empat gol lagi disumbangkan oleh Abdul Rashid Hasnan (dua gol) dan Tengku Ahmad Shazril Ezzani Tengku Sulaiman (dua gol).

Sementara empat gol Brunei pula dihasilkan oleh Pangeran Muda Bahar Jefri (dua gol) dan Mohamad Huzaimi Husin (dua gol).

Khairy ketika ditemui berkata, aksi hari ini umpama perlawanan ‘selebriti’ kerana melibatkan Putera Abdul Mateen, namun kedua-dua pasukan mempamerkan aksi terbaik.

Katanya, penyertaan dalam sukan polo itu membuktikan bukan sekadar penumpang sebaliknya mahu terus menyumbang untuk kejayaan pasukan negara.

“Sebelum ini pertandingan polo tidak dapat sambutan penonton, namun penyertaan kerabat diraja termasuk Putera Abdul Mateen pada Sukan SEA kali ini berjaya menarik ribuan pengunjung.

“Biarpun terdapat penyertaan kerabat diraja dalam sukan ini, ia bukan tiket percuma untuk menyertai pasukan negara, kita perlu tubuhkan sebuah pasukan terlebih dahulu. Sesiapa pun jika boleh menyumbang dipersilakan mewakili negara dan jangan jadi penumpang,” katanya.

Menurut Khairy, beliau ditugaskan mengekang asakan lawan terutamanya Puteri Azemah Ni’matul yang bermain di barisan hadapan skuad Brunei dan berjaya memainkan peranan itu dengan baik.

“Hari ini pasukan bermain dengan strategi yang ditetapkan, kita juga ada membuat risikan iaitu Brunei akan bermain bola tinggi untuk mencari Puteri Azemah Ni’matul di depan, jadi saya ditugaskan untuk mengawal pergerakan beliau sepanjang perlawanan.

“Brunei merupakan pasukan yang bagus dan jika kita bermain tanpa strategi tidak mustahil mereka mampu menjaringkan banyak gol terutamanya melalui Puteri Azemah Ni’matul,” katanya.

Dalam satu lagi perlawanan pada sebelah pagi Thailand berjaya menewaskan Singapura dengan jaringan 11-6.

Sumber: Utusan Online