Sultan Kedah Mahu Jemaah Haji Jaga Nama Baik Negara


ALOR SETAR - Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah agar lebih 4,000 bakal jemaah haji dari negeri Kedah menjaga nama baik dan maruah negara Malaysia sepanjang mereka di bumi Allah bagi mengerjakan ibadah Haji.

Para jemaah dinasihatkan dan diminta untuk sentiasa menjaga adab, bersopan santun dan tidak menimbulkan sebarang kekacauan mahu pun perbalahan ketika berada di Tanah Suci.

Ini bagi memastikan hubungan baik antara Malaysia dan negara Arab Saudi sentiasa berada dalam keadaan akrab.

"Jemaah haji negara diiktiraf sebagai jemaah yang berdisiplin dan sebab itu, patuhillah arahan pihak berkuasa di sana. Jangan terbabit dalam sebarang kegiatan haram ketika di sana.

"Sekiranya berlaku, ia nanti menjejaskan imej negara dan hubungan dengan negara Arab Saudi," titah baginda.

Baginda bertitah  pada majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Bakal Jemaah Haji Kedah di sini, malam semalam.

Sementara itu, Teks titah ucapan baginda dibacakan Raja Muda Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah. - Kedahnews.com