Sultan Kedah Puji Kepimpinan Negeri Konsisten Laksana Dasar Pro Rakyat


ALOR SETAR - Sultan Kedah hari ini mendazahirkan kesyukuran melihat kepimpinan kerajaan negeri ini secara konsisten melakar dasar-dasar yang pro rakyat dengan menambah nilai perkara baik yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah bertitah, pendekatan gerak kerja kebajikan seperti skim Barakah adalah salah satu bukti jelas yang menunjukkan tidak ada rakyat yang terpinggir dan tidak ada kelompok masyarakat yang dilupakan.

"Beta difahamkan, melalui program Barakah Insan sahaja, semenjak April 2016 hingga Jun 2017, lebih 100,000 rakyat di negeri Kedah ini telah beroleh manfaat, " titah baginda.

Tuanku Abdul Halim menyuarakan kesyukuran itu semasa menyampaikan titah ucapan pada Perasmian Persidangan  Dewan Undangan Negeri Kedah bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, di Wisma Darulaman di sini hari ini.

Teks titah ucapan baginda disampaikan oleh Raja Muda Kedah, Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah. 

Sementara itu, Sultan Kedah menyarankan semua pihak melaksanakan tanggungjawab dengan jujur  bagi mempertahankan integriti dan mengurangkan polemik yang tidak berfaedah.

"Ini bagi memastikan negeri Kedah terus stabil, aman dan berdaya maju, " titah baginda lagi. 

 Dalam pada itu, baginda berharap sektor perkhidmatan akan terus dipelbagaikan kerana ianya menyumbang lebih 50% kepada KDNK Negeri.

Sektor itu ialah plancongan, pendidikan, hospatiliti, makanan dan minuman, peruncitan dan kraftangan  kerana memilki  keunikan tersendiri dan ia antara  bidang yang boleh menggandakan hasil ekonomi, titah baginda.

Dalam pada itu baginda meminta kerajaan negeri ini tidak lupa dan terus melahirkan bakat modal insan di dalam bidang sukan, agama, pengurusan, teknokrat, konglomerat, pendidikan dan pelbagai bidang.

Ini merupakan antara satu sektor baharu yang bukan sahaja memberi manfaat kepada negeri ini, malahan mampu menguntungkan keseluruhan masyarakat dalam jangka masa panjang, titah baginda.
.
Pada kesempatan itu baginda juga mengucapkan "Selamat Menunaikan Ibadah Haji" kepada semua para jemaah haji daripada  negeri ini.- Kedahnews.com.