MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar percaya jika Sultan Mizan Zainal Abidin kembali menyertai Sukan SEA, ia akan meningkatkan keyakinan pasukan endurance.
“Jika itu keputusan Tuanku, saya yakin ia akan meningkatkan semangat pasukan endurance dan jika ia disahkan, saya percaya dan yakin ia akan menambah kekuatan pasukan endurance negara.”
Sultan Mizan sebelum ini dilaporkan menarik diri daripada temasya itu kerana kudanya disahkan kurang cergas untuk bertanding dalam acara kuda lasak pada 20 Ogos ini di Terengganu International Endurance Park di Lembah Bidong.
Bagaimanapun, kemasukan semulanya masih belum disahkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Sementara itu, Khairy memberi jaminan Jawatankuasa Penganjur Malaysia (MASOC) mengambil kira faktor cuaca kerana hujan turun sejak beberapa hari lalu dan berkata, mereka mempunyai pelan B.
“Kami sudah menimbang mengenai faktor hujan dan ada ruang dalam jadual bagi mana-mana penangguhan disebabkan cuaca dalam sukan seperti tenis serta menambah lampu terhadap kemudahan jadi apa saja yang tidak boleh diselesaikan pada siang hari akan dibawa ke malam.”
“Bagi memanah, kami akan melangsungkannya dalam beberapa hari (16-22 Ogos) dan masih ada masa kerana tiada acara lain berlangsung di gelanggang memanah di Bukit Jalil, jadi kami masih ada ruang unuk melanjutkan pertandingan itu.”
Sumber: MyMetro