Suspek Bunuh Pengawal Balik Rumah Mak


LELAKI disyaki terbabit dalam kes bunuh dua bersaudara di pusat penyembelihan ayam di Jalan Bukit Kuda, Kampung Kuantan, Klang, Khamis lalu, ditahan di Teluk Intan, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mazelan Paijan, berkata suspek ditahan di Hospital Teluk Intan, Perak kira-kira 1 pagi ini.

Bagaimanapun, katanya, suspek berusia 30 tahun itu masih mendapatkan rawatan di hospital berkenaan kerana mengalami masalah kesihatan.

"Suspek pulang ke rumah ibunya, Khamis lalu, dan dia kemudian dihantar ke hospital selepas mengamuk.

"Polis kemudian ke hospital dan suspek kini masih dirawat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, Satria Neo milik mangsa turut ditemui namun wang gaji RM3,000 milik mangsa tidak dijumpai.

Dalam kejadian Khamis lalu, dua bersaudara yang juga pengawal keselamatan, Syed Mohd Fazrul Syed Mohd Ridhuan, 23, dan Wan Amir Abu Hassan, 48, ditemui mati dalam sebuah bilik dengan kesan tetakan seluruh badan.

Kedua-duanya dipercayai dibunuh rakan sekerja sejak Selasa lalu berdasarkan keadaan fizikal.

Sumber: Metro