PORT DICKSON - Polis Port Dickson menahan dua suspek lelaki berusia 18 dan 21 tahun dipercayai tebabit dengan kes kehilangan seorang kanak-kanak perempuan 10 tahun pagi kelmarin di kediaman keluarganya di Kuaters Kakitangan Politeknik Port Dickson.
Sumber polis berkata, suspek tersebut yang juga merupakan pelajar sebuah institusi pengajian tinggi di Port Dickson ditahan disebuah kompleks membeli belah di Seremban sekitar jam 4.45 petang semalam.
Menurutnya, ketika ditahan, suspek sedang beratur hendak membeli tiket wayang.
"Polis menyiasat kes ini di bawah Akta Kanak-Kanak dan bukannya kes berkaitan culik memandangkan suspek tidak meminta wang tebusan," katanya.
Sumber polis berkata, suspek akan di bawa ke mahkamah esok untuk mendapatkan perintah reman.
Terdahulu, sekitar jam 9 malam hari yang dalam kejadian ini, kanak-kanak tersebut telah ditinggalkan oleh individu yang melarikannya ditepi jalan berhampiran pondok pengawal politeknik.
Kini kanak-kanak itu sedang mendapatkan khidmat kaunseling dan pemeriksaan kesihatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban.
Sumber: Sinar Harian