Tahap Keselamatan Terbaik KL2017


KAWALAN keselamatan di lokasi penganjuran sukan dan sempadan negara sudah dipertingkatkan ke tahap tertinggi bagi memastikan Sukan SEA 2017 berlangsung dengan lancar.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, beliau dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut menganggotai Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) Keselamatan Sukan Sea KL 2017 memantau keadaan sepanjang masa untuk memastikan keselamatan dijaga dengan baik.

"Setakat ini, berdasarkan maklum balas daripada Ketua Polis Negara, beliau sendiri mengesahkan tahap keselamatan berada pada tahap tertinggi berdasarkan latihan yang diadakan di Bukit Jalil, baru-baru ini.

"Malah, anggota tentera juga turut bersedia, semuanya diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), jadi jika ada apa-apa anggota tentera kita sudah bersedia," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Keamanan Aman Malaysia melalui pelancaran lagu single Bumi Tercinta di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya hari ini.

Turut hadir ialah Presiden Pertubuhan NGO Datuk Mohamed Hazali Abu Hassan.

Khairy berkata, dianggarkan 15,000 atlet dan pegawai akan berkampung di negara ini sepanjang temasya sukan itu berlangsung, tidak termasuk pelancong atau pelawat.

Sementara itu, beliau yang juga Penaung Aman Malaysia berkata, pelancaran lagu itu berlangsung pada masa yang sangat sesuai ketika negara akan menyambut Hari Kemerdekaan.

"Usaha yang diambil Aman Malaysia sangat murni dan sangat memberi inspirasi sekali gus dapat menyatukan rakyat di negara ini melalui lagu.

"Ia juga dapat memperkasakan lagi Aman Malaysia yang bukan hanya membawa mesej keamanan dunia, tetapi lebih kepada perpaduan di negara ini,"katanya.

Lagu Bumi Tercinta dinyanyikan oleh Dayang Nurfaezah, Jaclyn Victor, Azlan and the Typewriter, Talitha Tan, Back2Basixx, Thohir dari koir Permata Seni serta kumpulan pelajar sukarelawan.

Ia adalah ciptaan Aubrey Suwito, dan liriknya hasil nukilan Ad Samad yang mengambil masa lapan bulan untuk diterbit dan diterbitkan.

Sumber: MyMetro