Jeli: “Walaupun saya disimbah asid di muka hingga mencacatkan sebahagian wajah, saya tidak berdendam dengan bekas isteri.
“Sudah lama saya maafkan dia (bekas isteri) kerana mahu hidup dengan tenang dan bahagia bersama isteri sekarang,” kata Tuan Azaman Tuan Ludin, 44.
Dia menjadi mangsa simbahan asid oleh bekas isterinya, 12 tahun lalu selepas menyuarakan hasrat berpoligami. Akibatnya, muka sebelah kiri dan lehernya melecur teruk dan cacat.
Malah ketika kejadian itu berlaku pada 2005, dia terpaksa dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selama tiga bulan dan berulang-alik ke hospital itu dari rumahnya di Kampung Legeh, di sini untuk rawatan pemulihan wajah selama tiga tahun.
Tuan Azaman yang juga pesara tentera berkata, keadaan wajahnya semakin baik ketika ini namun amat sensitif dan dia tidak boleh makan sebarangan termasuk makanan laut.
Katanya, isterinya, Noraimi Ghazali, 33, yang dikahwini setahun selepas kejadian itu banyak berkorban dan memberinya semangat untuk kekal positif.
“Selepas kejadian itu, saya sukar terima kenyataan terutama apabila muka saya cacat namun Noraimi banyak berkorban dan beri kata-kata semangat.
“Dia juga tidak merungut atau malu dengan keadaan saya yang tidak sempurna. Saya sangat menghargainya dan bersyukur.
“Berikutan sokongan ini juga saya mampu memaafkan bekas isteri yang juga warga Thailand apatah lagi, wanita itu sudah menjalani hukuman penjara selama lima tahun,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Legeh, di sini.
Mengimbas kejadian itu, Tuan Azaman berkata, dia disimbah asid ketika berehat di ruang tamu rumah selepas menyuarakan hasrat berpoligami.
Katanya, selepas disimbah, dia terpaksa berlari sejauh 100 meter untuk mendapatkan pertolongan penduduk kampung.
“Bekas isteri yang berusia 56 tahun ditahan dan menjalani hukuman. Bersamanya, kami dikurnia seorang anak perempuan, Nor Syafida yang sudah berusia 22 tahun.
“Saya tidak menghalang dia untuk menemui anak kerana dia juga sudah dibebaskan (daripada penjara) dan pulang ke negaranya,” katanya.
Manakala Noraimi berkata, dia akan tetap menjaga suaminya hingga ke akhir hayat.
“Walaupun saya kenal lebih dekat suami selepas dia terkena simbahan asid, saya ikhlas terimanya.
“Alhamdulillah, anak tunggal suami dibesarkan oleh saya bersama suami dan kini sudah berkahwin. Saya anggap anak tiri seperti anak sendiri memandangkan kami tidak mempunyai zuriat,” katanya
Sumber: Metro