‘Tanggungjawab Saya Pulangkan Barang Pelanggan’


SHAH ALAM - Seorang pemandu teksi disifatkan berhati mulia apabila bertindak memulangkan semula peralatan kamera tripod kepada pemilik yang juga pengurus futsal Thailand yang terlibat dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) selepas mendapati peralatan itu tertinggal dalam keretanya, semalam.

Chong Theam Kwai, 53, berkata, dia menyedari peralatan itu berada dalam keretanya sekitar jam 7 malam selepas sejam menghantar pengurus itu bersama seorang rakan senegera ke Hotel Concorde, Shah Alam.

"Ketika itu saya sedang tunggu untuk ambil pelanggan di stadium Panasonic, saya ternampak sebuah beg hitam berisi tripod di tempat duduk penumpang bahagian belakang.

"Namun begitu, saya tak tahu siapa pemilik sebenar peralatan itu, sebab ramai yang naik teksi saya termasuk pelanggan dari Myammar dan Thailand yang nak ke salah satu acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di stadium tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Bapa kepada dua anak itu berkata, dia buntu jika gagal memulangkan barangan itu kepada pemiliknya.

"Ketika meneliti tripod itu, dia mendapati terdapat pelekat tulisan Thailand pada peralatan itu.

"Saya syak ia milik salah seorang daripada dua penumpang warga Thailand yang jadi penumpang saya, jadi saya cuba bertanyakan warga Thailand yang berada di situ dan ternyata mereka mengenali penumpang itu berdasarkan maklumat yang saya berikan," katanya.

Justeru itu, katanya, dia meminta mereka memulangkan peralatan itu kepada pemiliknya.

"Sudah jadi tanggungjawab saya memulangkan barangan milik pelanggan yang tertinggal dalam teksi saya.

"Jika saya cuba menyembunyikan peralatan itu, saya tak dapat apa-apa malah mungkin saya akan ditangkap polis kerana mencuri," katanya.

Semalam, seorang pengurus futsal Thailand telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam memaklumkan dia tertinggal tripod kamera dalam teksi milik Theam Kwai.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, lelaki berusia 55 tahun dikenali Surapong itu menaiki teksi dari stadium Panasonic untuk pulang ke tempat penginapan di Hotel Concorde.

"Setelah sampai di hotel Concorde, pengadu telah tertinggal tripod kamera, sebaik menyedari kejadian itu dia memaklumkan kepada kakitangan hotel.

"Mereka telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mengesyaki ia tertinggal dalam sebuah teksi jenis Proton Exora warna emas," katanya.

Katanya, kes ini dikira selesai selepas pemandu teksi memulangkan semula peralatan itu kepada pemiliknya sekitar jam 8.45 malam tadi melalui rakan senegaranya di stadium Panasonic.

Sumber: Sinar Harian