Tarif Elektrik Dikenakan Mengikut Kos Sebenar Yang Telus, Sistematik


KUALA LUMPUR - Tarif elektrik yang dikenakan kepada pengguna adalah berdasarkan kos sebenar yang telus dan sistematik, demikian menurut Suruhanjaya Tenaga (ST).

Ketua Unit Harga Elektrik, Jabatan Pembangunan dan Kawalselia Pasaran Elektrik ST, Marlinda Mohd. Rosli berkata, pelarasan tarif elektrik melalui mekanisme Kos Pelepasan Tidak Seimbang (ICPT) yang dilaksanakan setiap enam bulan turut terbahagi kepada tiga elemen termasuk kos bekalan dan kos perbelanjaan.

“Kos-kos inilah yang kita akan tentukan secara efisien serta telus dan ini akan dilakukan menerusi Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) yang telah diperkenalkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Selamat Pagi Malaysia (Nadi Seri Pagi) bertajuk 'Pelarasan Rebat Tarif Elektrik' di saluran TV1 terbitan Radio Televisyen Malaysia yang bersiaran pada 19 Julai lepas.

Menjelaskan selanjutnya, Marlinda berkata, kos bekalan terbahagi kepada beberapa aspek antaranya kos bahan api dan kos modal.

“Bila kita tetapkan tarif asas tahun 2014 berasaskan unjuran kos (kita andaikan harga bahan api akan naik) tetapi Alhamdulillah sejak kita mulakan (penetapan tarif) harga arang batu menurun.

“Kecuali tempoh ini sahaja ia (harga arang batu) naik tetapi sepanjang tiga tahun lepas harga bahan api telah turun. Satu lagi bahan api yang kita teliti adalah harga gas asli cecair yang turut menurun,” katanya.

Marlinda berkata, bagi kos perbelanjaan, ianya terdiri daripada kos seperti pembangunan infrastruktur, penghantaran dan pengagihan.

Menurutnya, elemen lain yang turut diterapkan dalam penetapan tarif elektrik adalah standard prestasi oleh syarikat elektrik yang selaras dengan kadar yang dikenakan.

“Objektifnya adalah untuk memastikan tarif elektrik diletakkan pada kadar yang munasabah dan pada masa yang sama kita memberi pulangan yang wajar kepada syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Bhd. ataupun Sabah Electricity Sdn. Bhd. di Sabah,” katanya. - Bernama