Tauke Balak Maut Dihempap Batu


RAUB – Seorang tauke balak maut selepas dihempap batu besar dari ketinggian kira-kira sembilan meter semasa melawat tapak projek pembalakan di Kampung Bukit Telaga, Bukit Fraser di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 12.45 tengah hari itu, Seow Ah Kiat, 63, yang merupakan pemilik projek tersebut sedang melawat tapak pembalakan itu bersama anak lelakinya.

Malangnya ketika berjalan kaki membuat tinjauan secara tiba-tiba satu kawasan cerun di situ runtuh dan menyebabkan batu-batan dan tanah yang dianggarkan satu tan menghempap Ah Kiat.

Anak mangsa sempat menyelamatkan diri.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.10 petang dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raub.

“Pemeriksaan ke atas badan mangsa menemui kesan hentakan pada belakang badan dan mangsa patah bahu serta ada kesan tanah pada badannya.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan,” kata beliau semalam.

Sumber: Kosmo