TABUNG Haji (TH) akan berusaha memastikan 5,000 permohonan badal haji (upah haji) daripada umat Islam Malaysia dapat dilaksanakan bagi musim haji 1438 Hijrah.
Pengarah Operasi Bimbingan Haji 1438 Hijrah, Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, setakat ini 3,700 penduduk Makkah sudah ditauliahkan sebagai pelaksana badal haji berdasarkan temu duga terbuka yang diadakan selama tiga hari bermula 27 Julai lepas di Ibu Pejabat TH Makkah di Hotel Abraj AlJanadriyah.
“Tugas mengagihkan siapa hendak buat badal haji adalah berdasarkan kepada temu duga. Insya-Allah baki 1,300 (pelaksana badal), kita akan buat temu duga pada Ahad dan Isnin ini (6 dan 7 Ogos),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat TH Makkah di sini, pada Selasa.
Badal haji bermaksud mewakilkan kepada waris atau orang lain bagi melaksanakan ibadat haji ke atas dirinya disebabkan uzur seperti sakit yang tiada harapan sembuh atau terlalu tua atau meninggal dunia sedangkan dia berkemampuan tetapi tidak sempat menunaikan ibadat tersebut ketika masih hidup.
Tengku Aziz berkata pada musim haji tahun ini, TH menetapkan 5,000 permohonan badal haji daripada umat Islam Malaysia.
Ditanya langkah TH dalam memantau pelaksanaan badal haji itu, Tengku Aziz berkata TH akan membuat dua pembayaran kepada pembadal, iaitu SR1,000 (RM1,127) terlebih dahulu selepas diberi tauliah dan baki SR1,400 (RM1,580) selepas hari wukuf sebaik mereka selesai menyempurnakan ibadat haji.
“Selepas pembadal selesai melaksanakan ibadat haji, mereka akan datang ke Ibu Pejabat TH Makkah ini untuk menuntut baki bayaran badal. Semasa itu kita akan bertanyakan kepada mereka tentang pelaksanaan badal haji yang telah mereka lakukan.
“Setelah kita yakin tanggungjawab itu sudah dibuat, maka baki SR1,400 (RM1,580) akan diserahkan kepada pembadal berkenaan,” katanya.
Hari Arafah atau juga dikenali hari wukuf adalah kemuncak ibadat haji.
“Mereka yang layak menjadi pembadal haji itu telah menjalani sesi temu duga bagi memastikan mereka mengetahui syarat dan memahami hukum-hukum ibadat haji,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Aziz menasihatkan umat Islam di Malaysia supaya melantik pembadal haji yang benar-benar layak bagi melaksanakan tanggungjawab berkenaan.
Sumber: MyMetro