Thailand Yakin Pertahan Emas Bola Sepak


TURUN dengan status sebagai juara bertahan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sedikit sebanyak menghadirkan teka­nan buat skuad bola sepak Ba­wah 22 Tahun (B-22) Thailand.

Bagaimanapun, pengurus pasukan Thailand, Watanya Wongopasi tidak ragu dengan kemampuan skuad kendalian Worrawoot Srimaka itu dalam misi mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Singapura dua tahun lalu.

Beliau berkata, kualiti serta pengalaman yang dimiliki pemain-pemain ketika beraksi dalam liga Thailand mampu membantu skuad Gajah Perang itu dalam merealisasikan hasrat mereka meraih emas buat kali ketiga berturut-turut.

“Saya akui kami berdepan sedikit tekanan tetapi semua pihak perlu ingat bahawa pasukan lain juga turut mengalami perkara sama kerana ini adalah bola sepak. Saya harap kami mampu memenangi semua perlawanan.

“Sudah tentu kami ada kualiti untuk pertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu kerana dibarisi pemain-pemain terbaik Liga Thailand. Mereka cukup berpengalaman dan sudah serasi bermain bersama,” kata Watanya ketika ditemui di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur semalam.

Sebelum ini, acara bola sepak melibatkan skuad senior tetapi sejak peraturan baharu menggunakan skuad remaja diperkenalkan, Thailand telah muncul juara sebanyak enam kali iaitu pada 2001, 2003, 2005, 2007, 2013, 2015 diikuti Malaysia pada tahun 2009 dan 2011.

Mengulas mengenai kemungkinan pertemuan menentang Malaysia pada perlawanan akhir, Watanya mengakui skuad tuan rumah memiliki kualiti tersendiri tetapi menegaskan bahawa Thailand sudah memiliki ramuan tersendiri sekiranya ia berlaku.

“Bagi saya, Malaysia sebuah pasukan yang bagus kerana terdiri daripada jurulatih serta pemain yang berkualiti. Bagaimanapun, kami sudah ada rancangan serta sistem permainan sendiri dalam setiap perlawanan,” ujarnya lagi.

Thailand bakal memulakan misi mempertahankan ‘ibu segala pingat’ itu dengan menentang Indonesia pada aksi pertama peringkat Kumpulan B di Stadium Shah Alam esok.

Sumber: Sinar Online