Tiada Kompromi Jika Ibu Bapa Abaikan Anak

JOHOR BAHRU - Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana ibu bapa yang didapati melakukan pengabaian terhadap anak mereka yang mana mereka boleh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. (gambar kecil) berkata, demikian ketika diminta mengulas kejadian tiga kanak-kanak yang ditinggalkan ibu bapa mereka di Larkin Perdana, di sini, semalam.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan polis berkaitan kejadian itu, namun akan melakukan pemantauan kes berkenaan.

"Kita boleh ambil tindakan terhadap kedua ibu bapa kanak-kanak berkenaan dan kita boleh buat laporan berdasarkan video kanak-kanak tersebut yang tular dalam media sosial semalam.

"Ini merupakan kes yang menyentuh sensitiviti masyarakat terutamanya kanak-kanak, jadi kita tidak boleh berkompromi dengan kes sebegini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Boling Piala Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Negeri Johor, di Kompleks Daiman Bowl, di sini, hari ini.

Jika disabit kesalahan mengikut Seksyen 31, boleh membawa hukuman denda RM50,000 dan 20 tahun penjara bagi kesalahan mendera, mengabaikan dan menganiaya kanak-kanak. - Bernama