Tiada Laporan Berhubung Dakwaan Tun M


PULAU PINANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, tiada laporan rasmi diterima berhubung dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempunyai RM230 juta dalam akaun banknya.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, ketika ini dakwaan berkenaan disifatkan sebagai cerita yang tidak mempunyai asas kukuh.

Sehubungan itu katanya, SPRM tidak boleh melakukan siasatan sekiranya tiada laporan berhubung perkara itu.

“ Jika ada laporan dibuat, kita akan kaji dahulu sama ada mempunyai asas untuk membuka kertas siasatan tapi setakat ini dakwaan berkenaan hanya sekadar cerita sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) di sini hari ini.

Dr. Mahathir sebelum ini mendakwa Ahmad Zahid mempunyai wang tunai jumlah berkenaan dalam akaunnya pada 1996 namun mengakui beliau tidak mempunyai bukti hitam putih tentang perkara itu. 

Sumber: Utusan Online