Tiga Anak Dara Aktif Jual Nombor Ekor


Penampang -Tiga ‘anak dara’ dicekup polis selepas didapati terbabit dengan aktiviti penjualan nombor empat ekor dalam serbuan di sebuah premis berhampiran Kedai Putatan Newtownship, Putatan, dekat sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 5.20 petang sempena Op Dadu, ketiga-tiga suspek wanita berusia antara 19 dan 24 tahun itu ditahan di premis berkenaan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti penjualan nombor ekor kawasan Putatan.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Rosley Hobden berkata, hasil maklumat orang awam dan risikan, sepasukan anggota menyerbu di premis tidak bernombor dipercayai menjalankan kegiatan haram sejak sebulan lalu.

“Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang kemudian membuat serbuan di premis itu dan menahan tiga wanita.

“Semua suspek yang ditahan dipercayai berkerja sebagai penjual nombor ekor di premis tidak bernombor itu dan dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Rosley berkata, selain tangkapan, polis merampas beberapa peralatan seperti kertas, telefon bimbit, alat pencetak dan sejumlah wang yang dipercayai digunakan dalam aktiviti judi berkenaan.

“Kami minta orang ramai terutama penduduk di daerah Penampang dan Putatan terus menyalurkan maklumat mengenai judi secara haram supaya tindakan segera dapat diambil.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Sumber: Metro