SEBELUM ini, bekas juara program Akademi Fantasia (AF) musim ke-8, Ahmad Shahir Zawawi pernah menghangatkan industri dengan cerita ‘hilang dari radar industri seni’.
Meski mempunyai prinsip sendiri terhadap ‘kehilangannya’ itu, artis yang cukup sinonim dengan lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan kini berhasrat kembali memeriahkan industri seni bersama azam dan semangat baru.
Lalu pertemuan bersamanya sejurus majlis pengenalan barisan finalis program AF Megastar di Zouk, Kuala Lumpur baru-baru ini membuka ruang buat Shahir berkongsi perkembangan terbarunya.
Ketepikan kisah cintanya yang dikatakan sedang berputik bersama seorang bintang senior, Shahir mengakui keutamaannya kini adalah kembali membina nama, mengumpul kekuatan untuk terus konsisten dalam dunia hiburan tempatan.
Baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama episod, My Darling Inspektor Danial di samping Aaron Aziz, Erra Fazira dan Elizabeth Tan, Shahir optimis memberikan yang terbaik dalam nyanyian dan lakonan.
Jelas Shahir, dia tidak sabar bertemu peminat menerusi program istimewa terbitan Astro itu yang bakal bersiaran di Astro Ria dan Ria HD, 3 September depan.
AF Megastar merupakan program edisi khas AF yang mengumpul kesemua bintang akademi yang berlangsung selama 13 musim itu untuk kembali bersaing bagi merebut hadiah utama wang tunai RM100,000.
‘Mahu berikan yang terbaik’
Penyanyi dan pelakon, Shahir yang bakal menginjak 29 tahun pada 5 September depan ini mengakui tidak sabar kembali bersaing bersama rakan AF melalui konsert secara langsung AF Megastar.
Bagaimanapun, Shahir tetap mengakui gementar, memandangkan semua yang bertanding ada kelebihan dan kekuatan masing-masing.
Dalam keghairahan untuk menghiburkan penonton, Shahir tidak terfikir menunjukkan siapa lebih hebat walau hakikatnya aura untuk bersaing tetap berbuku di hati.
“Kami datang menerusi program sama dan selepas graduasi, kami berdikari untuk terus survive dalam seni. Kini kami kembali berentap dalam AF Megastar. Satu perjalanan yang menarik untuk dikenang,” katanya.
Menyifatkan saingan yang diterima begitu sengit, selebriti dari Perak itu memberitahu, dia sebolehnya mahu mengelakkan tekanan dan enggan memikirkan soal pertandingan.
“Persaingan memang sengit. Tapi saya tak mahu fikir sangat sebab apa yang lebih penting, saya perlu mencabar diri sendiri. Selepas tiga tahun tidak menyanyi, rasanya inilah cabaran dan ujian yang perlu saya ambil.
“Harapnya saya boleh berikan yang terbaik. Sudah tentulah saya pun rasa gementar kerana pertandingan mingguan itu dilakukan di sebuah pentas yang besar. Expectation peminat pun besar. Kalau boleh, saya tidak mahu kecewakan mereka,” ujar Shahir yang tidak mahu memberikan tekanan buat diri sendiri sepanjang pertandingan kelak.
Baginya adalah lebih baik untuk enjoy dalam persembahan di samping dapat menghiburkan penonton.
Tidak mahu terlalu mencuba
Ditanya faktor yang memberikan kekuatan untuk menyertai AF Megastar setelah beberapa tahun menyepi, Shahir menganggap pertandingan ini adalah sama seperti AF8.
Shahir berkata, sepanjang berada di AF8, dia hanya menjadi diri sendiri dan tidak terlalu mencuba kerana paling utama ialah keikhlasan dan berusaha setakat mampu.
"Selebihnya, tawakal saja kerana kita sudah laksanakan tanggungjawab. Menang atau tidak, terletak pada rezeki masing-masing. Saya tak mahu harapkan apa-apa. Cukup sekadar saya buat persembahan yang memuaskan hati saya serta peminat,” terang Shahir
yang tidak putus-putus merakamkan terima kasih atas sokongan rakan media selama ini.
Shahir juga tidak menafikan, sepanjang menyepi dari dunia seni, masih ada peminat yang bertanya, memberi sokongan agar kembali memeriahkan industri.
"Saya memang merancang untuk kembali, kebetulan pihak Astro ada menghubungi, bertanya adakah saya minat menyertai program tersebut.
Rasanya pelawaan mereka adalah satu dorongan untuk saya, jadi platform terbaik untuk kembali perkenalkan diri.
“Mengenai lakonan, saya masih terima tawaran, tapi atas komitmen pada AF edisi khas ini, saya terpaksa menolak. Apa pun, keutamaan masih lagi pada nyanyian," kata Shahir yang terpaksa menangguhkan pelancaran single selepas sekian lama merancang kerana mahu menumpukan kepada program AF Megastar.
All the best daripada Erra Fazira
Sementara itu, Media Hiburan ada bertanya pada Shahir, apakah Erra Fazira ada menyatakan sesuatu apabila dia bersetuju untuk bersaing dalam AF Megastar.
Kongsi Shahir, sama seperti rakan artis lain, Erra ada memberikan kata semangat dan dorongan.
“Katanya, mudah-mudahan penglibatan dalam pertandingan tersebut menjadi langkah baik untuk saya kembali semoga kerjaya lebih berkembang,” beritahu Shahir ringkas.
Tidak boleh mengelak andai mereka akan terus dikaitkan, Shahir mengambil langkah positif untuk bersikap profesional.
“Waktu saya senyap pun orang akan kaitkan juga. Maknanya, sebagai selebriti, perkara sedemikian perlu ditelan. Tidak boleh lari sebab pasti akan sentiasa kait dan usik. Kalau nak jadi anak seni, itulah perkara yang perlu kita bayar,” akhiri Shahir.
Sumber: Sinar Online