ISU pemilikan rumah bukan lagi perkara baharu, malah hampir setiap hari ada sahaja artikel mengenai kepentingan membeli rumah dikongsi di laman sosial bagi memberi kesedaran kepada orang awam terutamanya golongan muda.
Menurut laporan Global Property Guide, harga purata bagi seunit rumah di Malaysia berpandukan suku ketiga 2016 adalah RM334,736.
Harga rumah paling mahal di negara ini adalah di Kuala Lumpur dengan purata harga sekitar RM772,126 pada suku ketiga tahun yang sama. Manakala, harga rumah terendah adalah di Perlis iaitu sekitar RM153,472.
Namun, apakah sebenarnya yang membuatkan rakyat negara ini tidak mampu memiliki rumah pertama mereka selain harga pasaran yang tinggi?
Perunding hartanah, Mohammad Al Fawwaz Mohammad Isa berkongsi tips golongan muda perlu tahu sebelum membeli rumah idaman mereka.
Lapan panduan yang wajar diambil kira generasi masa kini sebelum mencongak untuk memiliki hartanah.
1) Fahami sedalam-dalamnya tentang tujuan ingin membeli hartanah itu
2) Ketahui dengan mendalam proses jual beli rumah untuk setiap jenis, status pegangan yang berbeza, bekalan dan permintaan di sesuatu kawasan
3) Ketahui tahap kemampuan kewangan sendiri. Jangan sesekali mengikut nafsu, sebaliknya mengikut kemampuan dan keperluan asas dahulu.
4) Sekiranya maksimum kelayakan pinjaman rumah sehingga RM500,000, kenapa tidak kecilkan selera dan beli rumah bernilai RM400,000 sahaja.
5) Elakkan pembelian kereta dengan pinjaman maksimum, tetapi fokus untuk membeli rumah pertama. Katakan anda memperolehi gaji sebanyak RM3,000 sebulan, tolak bayaran bulanan pinjaman kereta sebanyak RM700 sebulan. Baki sebanyak RM2,300 hanya mampu untuk membeli rumah dengan bayaran bulanan antara RM700 - RM1,000 sebulan, atau dengan erti kata lain rumah berharga RM170,000 - RM200,000 sahaja
6) 'Rule of thumb' atau panduan asas untuk membeli rumah adalah dengan membuat sifir mudah iaitu setiap unit hartanah yang bernilai RM100,000 bersamaan dengan RM500 komitmen ansuran bulanan kepada bank.
7) Kenal pasti komitmen lain seperti kereta, bayaran pinjaman pelajaran dan kos sara diri yang harus diambil kira supaya tidak terjerat dalam lembah hutang.
8) Pastikan ada perancangan kewangan selama lima hingga 10 tahun minimum kerana komitmen yang diikat agak lama. Sekiranya sudah terlajak dan membeli rumah dengan ansuran bulanan yang tinggi, hanya ada dua cara penyelesaian:
i) Menurunkan taraf: Jual rumah itu dan beli rumah yang lebih kecil(pastikan mampu bertahan sekurang nya setahun sebelum rumah terjual
ii) Tambah pendapatan dan kurangkan komitmen bulanan yang lain seperti kereta, pinjaman peribadi, perbelanjaan makan dan barangan dapur. Kebanyakannya akan memilih untuk tambah pendapatan.
Panduan pakar adalah antara cara untuk memastikan perancangan hidup dalam usaha untuk memiliki hartanah tidak membebankan, sebaliknya memberi manfaat kepada anak muda negara. Selamat mencuba!
Sumber: Mstar Online