PETALING JAYA - Datuk Seri Najib Razak yakin pendekatan memberi harapan kepada rakyat menerusi pelaksanaan agenda transformasi termasuk Transformasi Nasional 2050 (TN50) lebih berkesan berbanding politik menakut-nakutkan rakyat.
Perdana Menteri yakin pelaksanaan TN50 akan menjadikan Malaysia antara negara terkemuka di dunia dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.
Beliau berkata, program TN50 yang bertujuan membentuk masa depan rakyat dan negara ini antara pendekatan kerajaan bagi memastikan rakyat merasai bahawa Malaysia sedang menuju ke arah negara yang lebih baik dan mempunyai harapan cerah pada masa depan.
"Saya tidak percaya pada politik menakut-nakutkan seperti dilakukan sepanjang rejim Nazi berkuasa di Jerman.
"Sebaliknya kerajaan berusaha untuk menyediakan peluang dan ruang untuk memberikan harapan kepada rakyat...itulah makna pelaksanaan TN50," katanya pada sesi dialog 'Design Thinking' (DT) (Pemikiran Reka Cipta), penggerak Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Genovasi Malaysia (Genovasi), di sini, semalam.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri.
Genovasi dilancarkan Perdana Menteri pada 2012 dengan misi untuk menyampaikan kepakaran dan kemahiran inovasi bagi melahirkan duta inovasi untuk generasi akan datang.
Sejak itu, Genovasi melatih 4,000 peserta daripada sektor awam dan swasta mengguna pakai model DT Stanford d.school dan Hasso-Plattner-Institut (HPI).
Perdana Menteri berkata, Malaysia mempunyai kekuatan dan pendekatan strategik dalam membangunkan negara, namun malangnya ada rakyat yang tidak menghargai apa yang dimiliki negara ini sehingga ada usaha menjatuhkan negara sendiri.
"Usaha menjatuhkan negara ini dilakukan beberapa ahli politik selain menyebar dakyah dan tohmahan terhadap negara sendiri.
"Namun apabila orang luar berada di negara ini, mereka menyanggah dakwaan bahawa Malaysia sebuah negara yang gagal, mereka menyifatkan rakyat negara ini patut berbangga dengan apa yang dimiliki," katanya.
Sementara itu, dalam ucapan sempena ulang tahun kelima Genovasi, Najib berkata kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan untuk menghantar lebih ramai penjawat awam untuk dilatih oleh Genovasi di bawah program Duta Inovasi Pemikiran Reka Cipta (DTIA) untuk memperkasakan pemikiran reka cipta ke arah menambahbaik produktiviti dan kecekapan jabatan dan agensi kerajaan.
Sumber: BH Online