Tomok Buka Cawangan Jenama Minuman Popular


KUALA LUMPUR - Penyanyi, Tomok, memulakan langkah dalam bidang perniagaan dengan membuka cawangan jenama minuman terkenal di pusat beli-belah di Shah Alam.

Memulakan operasi Sabtu lalu, Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, 32, menjelaskan idea untuk membuka cawangan minuman itu tercetus kerana beliau sendiri menggemari produk terbabit.

"Siapa sangka sebelum ini saya hanya peminat minuman berkenaan dan sekarang saya sudah mempunyai cawangan produk kegemaran rakyat Malaysia ini.

"Semua ini takkan berlaku tanpa doa ibu, ayah, isteri, anak-anak, keluarga, sahabat dan semua peminat. Alhamdulillah, saya bersyukur rezeki untuk menceburi bidang perniagaan dipermudahkan.

"Jemput datang dan menikmati sendiri keenakan produk jualan saya. Datanglah ke pusat beli-belah di Shah Alam ini dan saya sendiri akan mengambil pesanan anda," kata Tomok.

Majlis pembukaan cawangan sulung milik Tomok diadakan secara ringkas, yang dimeriahkan dengan kehadiran sahabat handai dan keluarga.

Penyanyi lagu Rempuh itu merancang untuk mencuri masa di sebalik jadual kerjanya yang padat untuk mengendalikan cawangan yang baru saja dibuka itu.

"Saya akan berada di kaunter untuk mengambil pesanan sekiranya ada kelapangan, secara tidak langsung dapat mendekati peminat dengan lebih dekat lagi," katanya.

Sumber: BH Online