PENTAS final bola sepak Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017), platform terbaik memperkukuhkan lagi perpaduan rakyat Malaysia pelbagai kaum terutama menjelang Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini, sewajarnya dapat dinikmati dengan mudah seluruh masyarakat.
Namun sebaliknya, sistem penjualan tiket yang dianggap ‘kuno’ menjadi tompok hitam dalam lipatan sejarah sukan negara apabila puluhan ribu penyokong tempatan hampa dan berputih mata kerana gagal mendapatkan tiket menonton aksi akhir Malaysia dan Thailand.
Keputusan Jawatankuasa Pengelola Malaysia (Masoc) menjual tiket hanya di Stadium Shah Alam, venue perlawanan akhir itu, menimbulkan kemarahan penyokong skuad kebangsaan, terutama dari kawasan luar bandar, selain dikecam hebat netizen menerusi media sosial.
Menyedari perkara itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi twitternya menjelaskan bahawa memang ada perancangan awal menjual sebahagian tiket final secara dalam talian seperti aksi separuh akhir.
“Itu amalan bagi semua sukan sebelum aksi final. Bagaimanapun malam tadi (kelmarin) saya dimaklumkan pembekal sistem transaksi pembayaran dalam talian tidak dapat menjamin kestabilan sistem kerana pengguna banyak.
“Mereka bimbang orang membuat transaksi pembayaran tidak mendapat tiket kerana jumlah pengguna yang banyak,” tulisnya.
Selepas menilai beberapa maklumat diterimanya, Khairy mengambil keputusan untuk tidak membenarkan penjualan tiket secara dalam talian sebaliknya hanya dijual di venue perlawanan.
“Tanpa sistem pembayaran dalam talian yang stabil, keputusan dibuat untuk menjual semua tiket @ SSA (Stadium Shah Alam). Di SSA kami menjual semua tiket. Sehingga ia terpaksa ditangguhkan apabila penghalang dicerobohi. Kemudian penjualan tiket disambung semula selepas FRU tiba,” tulisnya.
Keputusan Masoc menjual tiket hanya di stadium bukan langkah efektif kerana kebanyakan penjualan tiket kini secara dalam talian.
Harga dijual ulat tiket di pasaran gelap pula difahamkan mencecah RM120 hingga RM250 sekeping berbanding harga asal RM21.20.
Difahamkan, hanya beberapa kaunter tiket sahaja dibuka walaupun dalam kenyataan dikeluarkan Masoc sebelum ini memaklumkan 20 kaunter tiket akan dibuka seawal 11 pagi kelmarin.
Semalam Bernama melaporkan 5,000 penyokong Malaysia terpaksa pulang tangan kosong apabila tiket perlawanan akhir itu habis dijual dan difahamkan 45,000 tiket dijual kepada penyokong Malaysia manakala 3,000 tiket diperuntukkan kepada penyokong Thailand.
Insiden memalukan itu mendapat perhatian Ultras Malaya yang selama ini menjadi tulang belakang Harimau Malaya apabila semalam memutuskan untuk tidak akan membuka curva pada perlawanan akhir itu
“Solidariti untuk semua pemain ke-12 skuad Harimau Malaya. Ultras Malaya secara rasmi tidak akan membuka curva untuk perlawanan akhir esok (semalam) sebagai tanda solidariti buat komrad dan juga penyokong lain yang datang dari jauh mahu pun yang dekat.
“Yang bersusah payah, berhempas pulas mendapatkan tiket tetapi tidak dapat memperolehnya kerana kelemahan sistem penjualan tiket penganjur,” demikian tulisan dalam entri Facebook Ultras Malaya. - Bernama