Tuduh SPRM Tahan Exco Secara Haram, Guan Eng Diberi Tempoh 48 Jam Untuk Mohon Maaf


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tempoh 48 jam untuk memohon maaf secara terbuka tanpa syarat kepada suruhanjaya itu atau berdepan tindakan undang-undang susulan kenyataan yang dikeluarkannya yang berunsur fitnah.

SPRM dalam satu kenyataan pada Jumaat menyifatkan kenyataan GuanEng bahawa penahanan Exco Kerajaan Negeri, Phee Boon Poh oleh SPRM sebagai 'penahanan haram' merupakan satu kenyataan yang berunsur fitnah.

SPRM selepas meneliti audio dan video pertemuan Guan Eng dengan pihak media di Komtar, Pulau Pinang semalam mendapati Lim dengan jelas telah menggunakan perkataan 'penahanan haram oleh SPRM' apabila menjawab soalan wartawan berhubung isu kilang haram di Sungai Lembu.

"SPRM memandang serius kenyataan 'penahanan haram oleh SPRM' dan beranggapan ia merupakan satu fitnah jahat yang bertujuan untuk memburuk-burukkan nama baik SPRM, mencemarkan dan menjejaskan reputasi SPRM," kata suruhanjaya itu.

Menurut SPRM, ia percaya Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Datuk Abdul Wahab Mohamed tidak pernah dalam penghakimannya berkaitan penahanan reman Phee menyatakan penahanan yang dibuat oleh SPRM sebagai "penahanan haram".

"Justeru itu, Guan Eng digesa agar memohon maaf secara terbuka tanpa syarat kepada SPRM dalam tempoh empat puluh lapan (48) jam daripada kenyataan ini dikeluarkan atau tindakan undang-undang akan diambil terhadapnya," katanya.

SPRM juga memaklumkan ia telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 14 Ogos berikutan keputusan mahkamah yang membatalkan penahanan reman terhadap Phee.

"Memandangkan rayuan ini masih belum selesai dan dimuktamadkan sepenuhnya di mahkamah maka sebarang kenyataan oleh mana-mana pihak berkaitan penahanan tersebut adalah subjudis dan boleh dianggap sebagai tindakan menghina mahkamah," katanya.

Sumber: Agendadaily