Uber, Grabcar Punca Pendapatan Pemandu Teksi Kurang 30 Peratus


KUANTAN - Pendapatan pemandu teksi di Pahang termasuk di daerah ini telah berkurangan sebanyak 30 peratus sejak perkhidmatan e-hailing iaitu Uber dan Grabcar diperkenalkan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan persekutuan menerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan membantu pemandu teksi melalui Program Transformasi Industri Teksi (TITP) yang diluluskan kabinet pada 10 Ogos 2016.

"Menerusi TITP, terdapat empat komponen asas bagi mewujudkan persaingan seimbang antara pemandu teksi dan pemandu e-hailing, antaranya memanfaatkan penggunaan teknologi iaitu aplikasi e-hailing, meningkatkan pendapatan dan kebajikan pemandu teksi sedia ada serta meningkatkan kualiti perkhidmatan pemandu teksi," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang, di sini hari ini.

Beliau yang menjawab soalan Datuk Wan Salman Wan Ismail (BN-Jengka) itu berkata, kadar tambang juga diselaraskan dengan pembayaran kadar bermeter atau elektronik menggunakan kadar tambah dinamik, iaitu kadar tetap dalam talian. - Bernama