UMAT Islam diingat agar tidak melampau dan terlajak dalam sebarang perselisihan pendapat dan perbalahan kerana kemungkinan satu hari mereka yang dibenci itu akan menjadi kawan mereka.
"Dia tidak tahu suatu hari nanti akan berubah. Orang yang dia kasih, sayang, suatu hari jadi lawan dan orang yang dia lawan, suatu hari jadi kawan. Dunia sentiasa berubah, kita kena faham, " kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Sehubungan itu, kata Abdul Hadi bermusuh dengan orang biarlah berpada-pada. Sebab itu, umat Islam disuruh buat baik kepada orang sama ada orang yang baik atau sebaliknya.
Malah, kata Ahli Parlimen Marang itu lagi, terdapat hadis Nabi Muhammad SAW yang menggesa agar menolong orang kena zalim dan orang yang melakukan kezaliman.
“Nabi SAW kata, tolonglah saudaramu yang buat zalim dan yang kena zalim. Maka seorang laki-laki berbertanya: wahai Rasulullah tolong orang kena zalim kami faham tapi menolong orang berbuat zalim, bagaimana?
“Rasulullah menjawab menghalangi atau mencegahnya dari kezaliman, begitulah cara menolongnya.
"Tolong selamatkan dia supaya dia bertaubat dan balik ke pangkal jalan. Itu cara menolongnya,” jelasnya ketika menyampaikan Kuliah Mingguan Pagi Jumaat di Masjid Rusila, Marang.
.
Ahli Parlimen Marang muncul dalam kuliah itu selepas berehat dari sebarang aktiviti ceramah sejak lebih dua bulan kerana menjalani pembedahan injap jantungnya di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Abdul Hadi yang dipetik daripada HarakahDailysemalam berkata, apa yang berlaku dalam dunia hari ini, dalam surat khabar, dalam televisyen, dalam facebook…berbalah terlajak sehingga hendak marah kepada orang ‘terkam’ habis-habisan.
Beliau mengingatkan umat Islam agar jangan mengkasari mereka sebaliknnya menasihatkannya dengan tutur kata yang baik apabila bergaul dengan golongan itu.
Pemimpin utama PAS itu turut merujuk kepada suatu ungkapan kata-kata yang menepati kehendak al-Quran berdasarkan hadis Nabi dan pendapat ulamak.
“Maksudnya, kasihlah kepada orang yang kamu kasih dengan kadar yang berpatutan, boleh jadi suatu hari dia buat perkara yang tidak molek. Marah kepada orang jangan terlajak, kena ada batas, boleh jadi suatu hari dia jadi orang yang kamu kasih kepadanya. Dengan sebab itu, berbalah dengan orang jangan terlajak,” tegasnya.
Sumber: HarakahDaily