UMNO Pulau Pinang Unik, Bela Kebajikan Semua Kaum


UMNO di Pulau Pinang adalah parti yang unik berbanding dengan negeri-negeri lain kerana ia membela kebajikan semua kaum dan agama, bukannya hanya kepada orang Melayu atau umat Islam sahaja.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, UMNO di negeri ini berada dalam situasi komposisi orang Melayu dan umat Islam yang hampir seimbang dengan kaum serta agama lain khususnya masyarakat Cina.

Sehubungan itu, ujar beliau, UMNO negeri ini tidak boleh dilihat sebagai sebuah parti yang hanya membela nasib orang Melayu dan umat Islam semata-mata sebaliknya perlu turut tampil sebagai pembela kebajikan masyarakat pelbagai kaum.

“Ini bukan bermaksud supaya UMNO mengetepikan hakiki perjuangan membela orang Melayu dan Islam, tetapi untuk memperlihatkan pemimpin dan parti kita adalah juara dalam membela nasib semua kaum di negeri ini.

“Malah ini juga tidak bertentangan dengan Perlembagaan UMNO sendiri yang mana pemimpinnya juga bertanggungjawab menjaga kebajikan kaum dan agama lain,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gelugor di sini semalam

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Bukit Gelugor, Datuk Omar Faudzar.

Abdul Rahman berkata, dalam usaha memperlihatkan UMNO parti yang boleh berjuang untuk semua kaum, ahli-ahlinya perlu mempergiat program mendekati masyarakat bukan Melayu dan Islam khususnya komuniti Cina di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri menambah, UMNO ne­geri ini perlu memberi penekanan kepada rakyat dengan bukan sahaja bersedia, menjadi juara dalam memberi khid­mat kepada semua kaum. - kedahnews.com