UMNO Tidak Perlu Bergaduh Untuk Tukar Pemimpin - Johari


SEJARAH UMNO yang mencapai usia 71 tahun tidak menjadikan parti keramat orang Melayu itu sebagai sudah tua atau 'pencen; sebaliknya sentiasa melahirkan pemimpin berwibawa untuk meneruskan perjuangan bagi kebaikan semua kaum di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, walaupun mencecah usia lebih setengah abad, UMNO masih mengekalkan kekuatan untuk mentadbir negara selain memastikan kestabilan politik agar rakyat dapat menikmati hidup selesa dan aman.

“UMNO masih menjadi tunjang kekuatan dalam Barisan Nasional (BN) dan sehingga hari ini kita masih kekal berkuasa dalam mentadbir negara kerana kita mempunyai barisan kepimpinan yang relevan dengan perjuangan parti.

“UMNO tidak perlu bergaduh untuk bertukar pemimpin, pertukaran pemimpin kita adalah secara semula jadi sejak zaman kemerdekaan sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memiliki jiwa bersesuaian dengan zaman ini,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Serentak Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kota Kinabalu, di Dewan Maktab Sabah, semalam

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Datuk Faisal Hamdan Diego; Naib Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Datuk Fatimah Sharah Ahmad Noor; Ketua Pemuda bahagian, Mohd. Bahrin Abd. Karim dan Ketua Puteri, Salmi Sarinoh.

Johari yang juga Menteri Kewangan Kedua berkata, pemimpin UMNO generasi sekarang khususnya Najib bijak menggunakan kecanggihan teknologi untuk berinteraksi dan menyampaikan maklumat mengenai program yang dilaksanakan kepada rakyat.

“Semasa zaman bapa beliau (Najib), Allayarham Tun Abdul Razak dahulu juga mempunyai visi bagaimana untuk membantu mengubah nasib orang Melayu yang susah menjadi maju selepas kemerdekaan adalah menerusi pendidikan.

“Oleh itu, zaman beliau (Tun Abdul Razak) ramai orang Melayu dan bumiputera yang berpendidikan tinggi berjaya dilahirkan,” ujarnya.

Beliau berkata lagi, ahli UMNO yang tidak berpuas hati dengan cara pentadbiran kerajaan perlu menyuarakan pendapat mereka mengikut saluran yang betul.

“Kita tidak boleh membocorkan kapal kerana air akan masuk dan mereka juga akan lemas dan tenggalam, jangan timbulkan masalah dalam parti termasuk melaga-lagakan pemimpin kita,” tegas beliau. 

Sumber: Utusan