Universiti Australia, UK Dan China Buka Kampus, Bukti Standard Pendidikan Malaysia


KUALA LUMPUR - Sembilan universiti terkemuka dari Australia, United Kingdom dan China yang telah menubuhkan kampus cawangan di Malaysia menjadi bukti tentang kualiti dan standard ekosistem pendidikan tinggi Malaysia.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (Pembangunan) Nik Ali Mat Yunus berkata lima universiti Malaysia berada pada ranking lapan teratas dalam ASEAN juga menunjukkan sistem pendidikan di Malaysia adalah mantap dan diiktiraf kerana kualitinya.

"Kita mendahului dalam subjek seperti kejuruteraan kimia, mekanikal dan elektrikal, sains pertanian, sains alam sekitar, reka bentuk dan binaan dan linguistik, di mana kesemuanya di ranking 50 teratas di dunia, menurut QS World University Rankings berdasarkan Subjek.

"Subjek ini adalah penting kepada industri-industri utama yang menyumbang kepada GDP (Keluaran Dalam Negeri Kasar) Kazakhstan, iaitu minyak dan gas, perlombongan dan pertanian.

"Yang demikian Malaysia menjadi rakan mantap bagi kerajaan dan industri di Kazakhstan bagi latihan modal linsan dan pembangunan'" kata beliau pada perasmian Minggu Pendidikan di Astaka Malaysia di EXPO Astana 2017, Kazakhstan.

Kenyataan beliau dikeluarkan pada Isnin.

Minggu Pendidikan itu memaparkan lanskap pendidikan tinggi di Malaysia, institusi terkenalnya serta penyelidikan dan inovasi berkaitan tenaga hijau.

Ia berlangsung dari 14 hingga 18 Ogos dan melibatkan penyertaan lapan institusi pendidikan tinggi Malaysia, ceramah mengenai peluang pendidikan di Malaysia yang berkaitan teknologi hijau dan kelestarian.

Nik Ali berkata institusi itu menyambut baik kolaborasi dengan institusi dan industri Kazakhstan ke arah membina modal insan yang mahir dan kompeten yang akan menerajui tenaga masa hadapan untuk dunia.

"Kita mempunyai lebih 130,000 pelajar dari 120 negara... kita mempunyai komuniti kecil pelajar Kazakh dan kita menyambut baik kedatangan lebih ramai pelajar negara itu," kata beliau. - BERNAMA