VOKALIS kumpulan Search, Amy, mengakui usia bukan penghalang untuk melibatkan diri dalam semua acara dalam Temasya Sukan Ke Laut (TSKL).
Menurut Amy, 59, setiap acara yang dipertandingkan dalam TSKL dilakukan secara serius dan disebabkan itu dia telah mengalami beberapa kecederaan.
"Bagi saya usia bukan alasan untuk sesorang itu tidak bersukan dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.
"Bayangkan umur saya sudah 59 tahun, rasanya saya merupakan peserta paling tua dalam program ini. Pergelangan tangan saya pernah terkehel kerana terjatuh ketika acara lari sambil mengundur ke belakang.
"Jadi perkara itu tidak pernah mematahkan semangat saya untuk meneruskan permainan kerana sebolehnya saya ingin melibatkan diri dalam semua acara.
"Selain menghiburkan, matlamat utama saya adalah untuk menaikkan semangat rakyat Malaysia terhadap penganjuran Sukan SEA 2017 yang berlangsung nanti," katanya kepada Astro Gempak.
Amy berkata demikian ketika ditemui pada sesi pengambaran program Sukan Ke Laut, di Sports Affairs, Cheras, baru-baru ini.
Temasya Sukan Ke Laut bersiaran setiap Jumaat, jam 10.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan saluran serentak di Warna HD (saluran 124).
Program ini juga boleh ditonton menerusi platform Astro GO dan On Demand.
Sumber: Astro Awani