Usul PAS Mahu RCI Isu Memali, MB Kedah Serah Kepada Kerajaan Pusat


ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah menyerahkan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat untuk memutuskan tentang keperluan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) atau tidak berhubung isu tradegi Memali yang berlaku di negeri ini pada 1985.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, isu berkenaan adalah terletak kepada kuasa budi bicara Kerajaan Pusat untuk membuat keputusan.

"Yang itu kita serah kepada budi bicara Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan.

"Isu itu adalah isu di peringkat nasional. Jika ada keperluan, mungkin bolehlah dipertimbangkan. Itupun kalau ada keperluanlah. Kalau perlu, kalau tak perlu, maka tak perlulah," kata beliau kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.

Ahmad Bashah berkata demikian ketika mengulas mengenai permintaan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang mahu pihak Kerajaan menubuhkan RCI terhadap kes Memali yang kembali hangat diperkatakan, baru-baru ini.

Isu tragedi Memali kembali menjadi bualan hangat selepas insiden "Nothing To Hide 2.0" yang menyaksikan kekecohan berlaku di program berkenaan ekoran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diajukan persoalan berkaitan isu berdarah tersebut.

Menerusi laporan media, Mahathir telah dibaling dengan beberapa objek seperti selipar dan botol air, selain kerusi yang dikatakan "melayang" di dalam kekecohan yang tercetus ketika itu.

Rentetan itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan susulan menyindir Mahathir sebagai gagal menjawab soalan yang dikemukakan sehingga menaikkan kemarahan pihak tertentu berhubung isu Memali. - Kedahnews.com