MANILA - Pihak berkuasa Filipina merancang membunuh 400,000 ayam, burung puyuh dan itik selepas mengesahkan wabak selesema burung, H5 pertama negara itu, kata Setiausaha Pertanian, Emmanuel Pinol semalam.
Wabak itu dikesan di sebuah ladang di sebuah bandar di wilayah Pampanga, utara Manila yang kemudian merebak ke ladang berhampiran.
Pinol memberitahu, sehingga kini tiada jangkitan terhadap manusia dilaporkan.
“Kami akan memusnahkan semua 400,000 burung yang berada dalam kawasan radius satu kilometer. Kami tidak mahu wabak ini merebak,” katanya.
Punca wabak dan virus selesema burung H5 itu masih belum dikenal pasti secara jelas.
Menurutnya, terdapat petanda yang menunjukkan wabak itu melanda satu ladang April lalu dan situasi semakin buruk pada Julai dengan 37,000 burung mati dalam tempoh itu.
Tambahnya, dia sudah memaklumkan situasi itu kepada Presiden Rodrigo Duterte dan satu laporan akan dihantar kepada Organisasi Dunia untuk Kesihatan Haiwan di Paris, Perancis.
Filipina adalah negara terbaru di Asia, Eropah dan Afrika yang dilanda virus selesema burung yang merebak sejak beberapa bulan lalu. - Reuters