Wabak Kedua Selesema Burung Dilaporkan Di Filipina


MANILA – Filipina mencatatkan wabak selesema burung kedua di wilayah pulau Luzon, kata Jabatan Pertanian semalam, lapor agensi berita China Xinhua.

Setiausaha Jabatan Pertanian Emmanuel Pinol berkata, ujian makmal mengesahkan wabak itu berlaku di ladang puyuh dan ternakan di wilayah Nueva Ecija, utara Manila.

Jarak kuarantin sejauh satu kilometer diisytiharkan di Nueva Ecija dalam usaha mengawal virus daripada merebak selepas kerja-kerja menghapuskan virus di ladang puyuh berkenaan dijalankan.

Wabak selesema burung dikesan di Nueva Ecija seminggu selepas kerajaan Filipina mengesahkan wabak pertama di ladang ternakan di kota San Luis, Pampanga.

Pihak berkuasa dalam proses memusnahkan lebih daripada 400,000 ayam, puyuh dan itik di Pampanga.

Sebarang kenderaan pengangkutan ternakan dari Luzon ke kawasan lain dihentikan.

Pinol berkata, minggu lepas sekurang-kurangnya 38,000 ekor ayam mati akibat jangkitan selesema burung ‘Type A Subtype H5’ di bandar San Luis dan di Luzon.

Siasatan sedang dijalankan bagi menentukan punca jangkitan dan setakat ini Jabatan Kesihatan mengesahkan tiada jangkitan dalam kalangan manusia. – BERNAMA