Wanita 80 Tahun Maut Dirempuh Kereta Api Di Gua Musang


GUA MUSANG  - Seorang wanita warga emas ditemukan maut berhampiran Stesen Kereta Api Bertam Lama di sini, dipercayai dirempuh kereta api dari arah Tumpat menghala ke Gua Musang, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi, mangsa dianggarkan berumur 80 tahun tanpa sebarang pengenalan diri itu ditemukan dalam keadaan terbaring dan kecederaan parah di kepala dan kaki.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, mangsa dipercayai berjalan di atas landasan kereta api itu semasa kejadian.

Menurutnya, kereta api itu sudah membunyikan hon beberapa kali sebelum merempuh mangsa.

“Mangsa dipercayai cuba melarikan diri ke tepi landasan sebelum dirempuh namun gagal,” katanya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Rajab Ahad berkata, kes itu masih lagi dalam siasatan.

Menurutnya, mayat mangsa akan dibawa ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat.

Sumber: Utusan Online