Wanita Lebih Cenderung Minta Cerai - Pakar


SERDANG - Wanita dua kali ganda lebih cenderung memohon perceraian berbanding lelaki selain lebih terbuka menceritakan masalah rumah tangga di laman sosial.

Profesor Program Terapi Keluarga dan Perkahwinan, Jabatan Sains Sosial Kekeluargaan, Kolej Pembangunan Manusia dan Pendidikan Universiti Minnesota, Amerika Syarikat, Prof William J Doherty, berkata kedua-dua situasi itu membuatkan masalah perceraian di seluruh dunia semakin meningkat.

Katanya, isu perceraian dianggap perkara biasa dan merasakan ia bukan sesuatu perkara yang memalukan.

"Bagi pasangan muda pula, mereka menganggap perkahwinan sebagai satu gaya hidup yang tidak memerlukan komitmen panjang, demi untuk masa depan.

"Kebanyakan menjadikan pasangan sebagai satu 'aksesori' untuk membahagiakan mereka. Jika mereka gagal menemui kebahagiaan dalam rumah tangga, wanita lebih mudah meminta cerai daripada pasangannya," katanya ketika Persidangan Antarabangsa 2017 dianjurkan oleh Persatuan Terapi Keluarga dan Perkahwinan (AMFTM), di sini.

Yang turut hadir Presiden AMFTM, Dr Johnben Loy.

Persidangan itu bertemakan Membantu Keluarga Bersama Menerusi Pendekatan Sistemik dan Kerjasama Pelbagai Bidang.

Secara purata data perceraian di Minnesota, Amerika Syarikat menunjukkan sebanyak 56 peratus daripada 577 pasangan memilih untuk bercerai berbanding untuk berbaik semula manakala hanya 12 peratus yang ingin atau mungkin berbaik semula.

Peranan golongan profesional

Doherty berkata, melihat kepada situasi berkenaan, golongan profesional seperti kaunselor dan peguam, seharusnya memainkan peranan membantu bagi memastikan perkahwinan ini dapat bertahan lama.

"Contohnya kaunselor, mereka tidak perlu hanya melihat kepada masalah seorang saja tetapi melihat ia secara menyeluruh. Mereka juga perlu menggalakkan pasangan untuk melihat kesalahan diri sendiri tanpa perlu menuding jari kepada seorang saja.

Seelok-eloknya setiap pasangan perlu ada bersama-sama ketika sesi kaunseling dijalankan," katanya.

Doherty berkata, ahli profesional lain yang terbabit dengan masalah perkahwinan ini seperti peguam juga perlu memainkan peranan lebih ke hadapan.

"Peguam perlu lebih prihatin supaya perkahwinan dapat diselamatkan. Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan 32 peratus pasangan tidak pasti untuk bercerai, jadi di sinilah peranan peguam," katanya.

Perceraian bukan isu peribadi

Beliau berkata, perceraian juga bukan satu isu peribadi kerana ia membabitkan keluarga dan masyarakat.

"Meluahkan masalah kepada rakan juga dianggap tidak bersesuaian kerana ia mungkin mengeruhkan keadaan. Mereka akan melihat dari kaca mata mereka saja.

"Justeru, berjumpa dengan pakar atau profesional lebih baik kerana mereka mampu menjernihkan keadaan secara sistematik," katanya.

Media juga sepatutnya menekankan isu perceraian supaya masyarakat berubah dari segi tingkah laku dan pemikiran.

"Seelok-eloknya sebelum membuat keputusan dalam isu perkahwinan, berjumpa dengan golongan profesional supaya pendekatan lebih sistematik bermula dari bawah dapat dilakukan secara menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada satu pihak saja," katanya.

Info

Punca perceraian meningkat

Terlalu terdedah dengan media sosial

Kurang komunikasi dalam keluarga

Sikap yang pelbagai

Tidak berupaya mengendalikan konflik

Generasi muda cepat mengalah

Boleh berdikari sendiri tanpa pasangan

Mental dan masalah dadah

* Tahun 2015 kira-kira 24 peratus perceraian di negara ini

* Tahun 2020 dijangka meningkat kepada 40 peratus