PETALING JAYA – Seorang penjual kuih menangis teresak-esak selepas dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan memukul rakannya kerana tidak membayar hutang.
Majistret Atiqah Abd. Karim @ Husaini menjatuhkan hukuman itu terhadap Miss Sureena Je-hah, 32, warga Thailand selepas wanita itu mengaku bersalah sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Miss Sureena didakwa dengan sengaja mencederakan rakannya, Noraida Mohd. Sulong, 49, dengan cara memukul bahagian muka dan kepala wanita itu.
Tindakan tertuduh menyebabkan mangsa mengalami bengkak di muka dan pendarahan di gusi.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di gerai Jalan KP 1/6, Seri Kembangan di sini pada pukul 5.15 petang, 25 Julai lalu.
Miss Sureena didakwa mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum sebulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Selain itu, wanita berkenaan turut dihukum penjara sebulan kerana tinggal di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan sejak 21 Mei tahun lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di No. SA-L2-10, Anjung A, Jalan KP 1/6, Pangsapuri Jati, Kota Perdana di sini pada pukul 10.30 malam, 25 Julai lalu.
Sumber: Kosmo